Followers

Friday, December 31, 2010

Imbasan Aktiviti Memancing 2010

Tahun 2010 bakal melabuhkan tirai beberapa jam saja lagi. Hasrat untuk memancing pada petang terakhir tahun ini terpaksa dibatalkan berikutan cuaca kurang baik. Banyak pengalaman suka duka yang saya lalui sepanjang bergelar kaki pancing. Semua aktiviti sepanjang tahun ini saya rangkumkan dalam 1 imbasan supaya mudah dilihat dan dikongsi bersama semua pelawat blog MSP. Untuk makluman anda semua, blog MSP ini saya (Yazid / Mayong ) kongsi bersama dengan saudara Alphakilo.

Januari, mancing malam di tembok Sandakan. Hasrat menganjurkan pertandingan kecil, bertukar menjadi trip mancing suka-suka akibat kesibukan rakan-rakan pancing yang lain untuk turut serta. Dapat jugak lesen ikan cupak. Klik sini

Februari saya cuma sempat mancing sekali sahaja semasa cuti Tahun Baru Cina. Trip jemputan rakan-rakan ini berlangsung 2H1M merupakan trip paling buruk yang pernah saya ikuti. Mana tidaknya, 2H1M memancing cuma dapat seekor gelama. Kami berpindah ke banyak lokasi namun masih kumpau. Mujur pagi hari kedua saya dapat lesen pertama casting ikan liar. Itupun cuma sumpit sumpit jer. Hehehehehe... Klik sini

Hampir 2 bulan tak mancing saya turun pada bulan April bersama Rostam dan Alphakilo bagi mencuba potensi terumbu cetek. Trip yang sungguh menghiburkan sambil menyaksikan rekod baru dicipta. Walaupun ikan yang kami dapat tak lah sebesar mana, namun ikan yang diperolehi boleh dikatakan lebih berkualiti berbanding utek dan gelama. Klik sini


Di awal bulan Mei pula saya mengikuti trip trolling yang diatur khas untuk seorang sahabat dalam MFN. Dengan ikan kanai sebagai sasaran utama, namun berkesudahan dengan MJ dan alu alu sahaja. Klik sini

Setelah berkali-kali diajak oleh geng Kara Tribe sehingga saya naik segan, akhirnya pertengahan bulan Mei saya melibatkan diri dalam 1 komplot memancing di perairan Pulau Taganak dan Pulau Baguan, Filipina. Walaupun berkesudahan dengan hasil yang lebih baik dari trip pertama saya pada tahun 2007 dahulu, ianya masih gagal memuaskan hati saya untuk pancingan laut dalam. Saya masih berandaian yang saya belum cukup pengalaman. Klik sini

Seakan membawa hati yang duka lara, saya mencuba pula nasib di perairan Semporna pada penghujung bulan Mei. Trip yang diatur oleh seorang sahabat lama dalam MFN sebenarnya cuma mengisi masa lapang ketika saya sekeluarga bercuti di sana. Klik sini

Di awal bulan Julai pula saya mengotakan janji saya untuk membawa 2 orang rakan sekerja yang baru bertugas di Sandakan untuk memancing di laut. Lokasi yang kami tuju, Gobin. Dengan bermacam ragam dan gelagat lucu mereka, sekurang-kurangnya ia mampu 'menjerumuskan' mereka dalam aktiviti yang sihat lantas 'meracuni' minda mereka untuk terus melekat dalam hobi ini. Hehehehe... Tercapai jugak cita-cita murni saya. Klik sini


Berlalunya bulan Ramadhan dan Syawal, menjadikan saya tidak sabar untuk memancing. Akhirnya, Pulau Berhala di jadikan lokasi melepaskan ketagihan memancing. Ditemani seorang kenalan Facebook, trip ini dikatakan kurang berjaya kerana cuma ikan gelama yang mendominasi tangkapan pada hari tersebut. Klik sini

Trip memancing di bagang pada pertengahan bulan Oktober merupakan antara trip terpenting dan teristimewa buat saya dalam tahun 2010. Trip ini lah saya berjaya merekrut hampir 80% rakan setugas di pejabat untuk mencuba aktiviti memancing. Walaupun ikan yang kami dapat tidak sebanyak yang diharapkan, rata-ratanya berpuas hati dengan pencapaian masing-masing. Klik sini

Oleh kerana 'November Rain' tahun ini tidak menjelma seperti tahun-tahun sudah, saya dan kawan-kawan mencuba nasib sekali lagi di Pulau Bai. Trip yang sungguh mencabar kewibawaan saya sebagai organizer dengan bermacam-macam dugaan ini diteruskan juga akhirnya. Apa pun segala yang pahit, terpaksa jua ditelan. Mungkin ini lah asam garam jadi trip organizer. Syukur alhamdulillah rakan-rakan yang turut serta cukup sporting dan memahami situasi saya pada ketika itu. Terima kasih pada semua yang terlibat. Klik sini


Bulan Disember menyaksikan 2 trip yang saya dapat join walaupun kedua-duanya agak kurang berjaya. Namun inilah pengalaman pertama saya memancing di sungai dan muara. Memang hasilnya sangat sukar dijangka. Ianya membuka mata saya bahawa betapa sukarnya menjadi seorang nelayan kampung yang mencari rezeki di sekitar sungai dan muara sahaja akibat kekurangan kelengkapan menangkap ikan. Klik sini untuk trip pertama dan klik sini untuk trip kedua.

Mudah-mudahan tahun 2011 yang akan menjelang, bakal menyaksikan lebih banyak lagi rekod baru dicipta. Setidak-tidaknya menghasilkan kenangan manis peribadi yang boleh dikongsi bersama anda semua. Jumpa lagi di tahun hadapan.

Thursday, December 30, 2010

KENANGAN SEPANJANG 2010.

Aktiviti memancing sudah lama bertapak dihati ku. Mungkin dari kecil lagi cuma baru beberapa tahun kebelakangan ini aku belajar menggunakan joran dan kekili. Dahulu, aku begitu selesa dengan hand line atau koyan. Melihat kembali kenangan-kenangan yang disimpan di blog ini, aku terasa seolah semua itu baru saja berlalu sedangkan kita sudah berada di penghujung tahun. Untuk tatapan mereka yang gemar melawat blog ini, aku sediakan sedikit koleksi gambar aktiviti aku sepanjang tahun 2010 ini. Andai ada yang teringin melihat lebih gambar dan laporan lagi, sila klik ke blog arkib. Juga untuk pengetahuan, blog ini dijaga dan diisi oleh dua pemancing iaitu aku (alphakilo) dan mayong. Kedua-dua aktiviti memancing kami akan dimasukkan di sini untuk tatapan bersama. Diharap dapat difahami. Jadi, mari kita melihat sedikit koleksi aktiviti aku (alphakilo) untuk tahun ni.
Trip ini adalah pengalaman pertama aku menduga udang galah yang banyak dan juga trip pembuka tirai di tahun 2010.
Ini adalah antara hasil trolling dalam trip bersama mayong di 'trolling pertama'. Ikan sasaran adalah ikan kanai tapi belum ada rezeki lagi bertemu dengan ikan tersebut.
Trip 'Potensi Terumbu Cetek' dibagi nama untuk trip sehari ini, juga bersama Mayong. Ikan yang kami perolehi dalam trip ni memang kebanyakannya ikan berkualiti tapi taklah besar sangat.
Trip yang sebenarnya aku rancang untuk ke Puru-Puru namun berubah ke Teluk Labuk selepas beberapa masalah yang sukar di elakkan. Hasil dalam trip ini pun agak muram.

Salah satu trip yang aku anggap paling berjaya bila kami menjinakkan lebih kurang 30kilo ikan tabung yang bersaiz mencabar. Trip yang pada mulanya tiada harapan lantaran ketiadaan sotong tapi menjadi meriah bila berpindah ke lubuk yang tersenarai paling bawah untuk dilawati.

Ini pula antara tangkapan aku yang paling bersejarah tahun ini. Menjebak MJ (mangrove jack) 2.8 kilo dengan teknik casting bukan la perkara yang aku harapkan sebab kesukaran menemui MJ sebesar itu. Tentangannya berjaya membuatkan aku menggigil lutut.
Satu trip yang dirancang hanya untuk bersantai dan mencari lauk. Hasil pun sekadar cukup makan juga. Sungguhpun begitu, trip ini tetap best sebab ia santai dan rileks. Tidak terasa panas sebab berteduh.
Trip ini pula diatur pada minit-minit terakhir sebelum bertolak. Trip diatur hanya kerana ketiadaan aktiviti untuk mengisi ruang cuti hujung minggu. Trip bersama adik aku dan beroleh hasil yang ala kadar.

Trofi yang tak pernah aku sangka selepas lebih setahun memburu spesies ini di Muara Gum-Gum. Daya pecutannya, tarian akrobatiknya, kehalusan pagutannya memang begitu berbeza dari ikan lain yang pernah aku daratkan. Masih ada yang gadang berkeliaran di sana. Semoga tahun depan ada lagi cerita darinya.
Dan, trip penutup tirai aku menghidangkan cerita KUMPAU yang teramat sangat sehingga tahap ikan gelama atau utik pun tiada didaratkan. Kadang-kadang kekumpauan seperti itu menjadi mimpi ngeri kepada tekong dan organizer trip. Aku bertuah sebab aku dalam trip aku yang kumpau hanya aku dan anak buah yang terlibat. Tiada rakan lain yang turut merasa getaran KUMPAU atau KILAR dalam trip tersebut.
Juga, tahun ni kami belum lagi dapat menghidangkan cerita keperkasaan sang TEMBARING yang diangkat sebagai Raja Muara di Sabah. Semoga tahun depan, kita akan dapat menatap dan membaca cerita tentang ikan perkasa itu disini. Ribuan terima kasih pada yang sudi dan selalu melawati blog kami yang serba kekurangan ini. Tunggu repot trip pembuka tirai tahun hadapan.. hehehehehe.....

Monday, December 27, 2010

MENGUSIK LUBUK MONSTER. (TRIP PENUTUP TIRAI 2010).

Tarikh 26 dec 2010 dijadikan sebagai tarikh penutup tirai aktiviti memancing aku tahun ini. Lantaran sebagai penutup, aku memilih lubuk yang sering diwar-warkan rakan sebagai lubuk yang ada ikan besar. Cerita tentang pecutan tak boleh kawal, joran melengkung maksimum, tali 50lbs meletup dan rekod rakan-rakannya yang bagak-bagak sedikit sebanyak meracuni aku walaupun aku sendiri belum pernah lihat hasil dia dan rakan-rakannya memancing di lubuk tersebut. Syarat dia, umpan sotong hidup kalau memancing malam dan udang hidup kalau memancing siang. Pulau Libaran, bukan asing bagi aku tapi disitulah lubuk yang sering diceritakannya pada aku. Sungguh pun aku kurang pasti dengan lokasi yang tepat, aku berpendapat, mencuba adalah lebih baik dari sekadar mendengar. Maka inilah trip yang aku sediakan untuk mengetahui kebenaran cerita sang rakan tersebut.

Aku tak lupa untuk menjemput rakan yang sering meracuni aku dengan cerita yang hebat tapi malangnya dia tidak muncul pada pagi yang dijanjikan. Aku cuma berdua dengan anak buah aku yang ditugaskan mencari umpan killer (udang hidup) awal pagi tersebut. Sambil bersiap alakadar, aku menunggu rakan aku datang. Hinggalah anak buah aku sampai ke jeti bersama umpan udang hidup, sang rakan belum pun tiba. Hanya sms dari dia yang menyatakan ketidakhadirannya dalam trip ini. Aku sedikit kecewa tapi trip tetap diteruskan juga. Laut begitu tenang. Haluan bot menuju ke Pulau Libaran. Tanpa rakan sebagai guide, aku jadi terkontang-kanting. Hanya berpandukan bot nelayan yang berlabuh untuk memancing. Malangnya, tiada sebuah pun yang berlabuh bila kami tiba di lokasi. Aku arahkan anak buah aku turunkan sauh. "Hentam sajalah" rungut aku sendiri.
Umpan udang hidup di labuhkan. Selepas setengah jam tiada getuan, Kami pindah. Begitu lah seterusnya. Pindah dan pindah dan pindah. Akhirnya aku bergerak ke lubuk yang ada dalam simpanan aku. Mencuba nasib. Hari semakin terik. Aku semakin tertekan. Bagaimana dengan keputusan trip penutup tirai aku? Apakan langkah aku benar-benar tersilap? Menjadikan trip yang kurang pasti sebagai penutup?

Penanda lubuk yang pernah menyajikan ikan tabung yang banyak pada aku dan rostam sedikit masa lalu. Hampir sejam juga menrendam udang hidup di sini tapi langsung tiada getuan. Jangan kan ikan besar, utik pun tiada. Arus pasang agak laju ketika ini.
AKHIRNYA!!... Kami berpindah lagi. Kali ini ke takat keriting. Takat yang juga pernah jadi sebutan dikalangan kaki pancing. Masih dengan nasib yang sama. utik atau gelama pun tiada. Gambar di atas hanya sekadar hiasan. Harapan mengusik ikan seperti itu memang besar tapi apakan daya. Ilmu dan kemampuan langsung tiada. Hehehehe.. Kami beralih ke muara pulak. Menghabiskan masa yang hanya tinggal tak sampai sejam. Pun berkeputusan sama. Sehingga pukul 4 setengah petang, aku mengajak pulang. Barang dikemaskan dan bot bergerak perlahan menuju ke jeti bersama cerita KUMPAU yang hebat. Hanya peralatan dan baki umpan yang dibawa naik bersama seribu alasan yang bakal diceritakan pada KDN yang pasti bertanyakan hasil. Maka tutup la tirai jadual memancing aku pada tahun inil. Semoga cerita tentang pancing ditahun akan datang lebih mengujakan dan bakal menjadi kenangan yang manis.





Monday, December 20, 2010

MENCARI TROFI MUARA GUM GUM : EPISOD 2

Pada 18 Disember lalu telah berlangsungnya 'trip terpaling last yang ke-2' buat diri saya untuk tahun 2010. Masih dengan target asal mencari sang siakap. Cuaca yang baik pada hari sebelumnya membuatkan saya bertambah yakin dengan trip kali ini. Lantas saya meletakkan sedikit harapan ditambah pula dengan bilangan umpan udang hidup yang agak banyak.

Gambar kenangan Rostam dan sepupu kepada Arbakin semasa kami memulakan perjalanan pada pukul 08:40 pagi. Kami rasa sungguh bersemangat pada pagi tu selepas mendapat tahu ada nelayan di kampung mendapat seekor tembaring seberat 5kg pada hari sebelumnya. Mana la tau, nak cari siakap dapat kanai.


Singgah sekejap ke bot pukat tunda untuk meminta sedikit umpan ikan. Terer beliau ni... 2 ekor dah MJ dia dapat hasil memancing guna hand line.

Lepas tu kami pun start la mancing. Setting sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan air dan ikan sasaran. Dalam trip ni saya lebih gemar ikut nasihat kapten Arbakin. Ikut dia punya setting.
Almaklumlah, dia kan dah ada lesen siakap.

Oleh kerana air pagi tu tak berapa sesuai untuk cari siakap, jadi kami pun mancing ikan-ikan lain dulu...



Sesudah berehat makan tengah hari, kami pun cuba sekali lagi ke lubuk siakap. Sebelum tu cari lagi udang, sebab udang pagi tadi hampir habis dimakan oleh ketam dan ikan utek.



Malangnya trip kali ni berkeputusan sama macam minggu lepas. Saya sendiri cuma dapat ikan tetanda dan sembilang. Mengikut kata kapten, ada kemungkinan pergerakan kami agak bising sehingga membuatkan sang siakap takut nak dekat umpan. Memang lepas ni kena bergerak ala komando la jawabnya. Lain-lain ikan hari tu, ikan putih, ikan sumpit-sumpit dan ikan buntal the buntil.

Sunday, December 12, 2010

MENCARI TROFI MUARA GUM GUM

Terkesan dengan 2 report siakap berturut-turut, saya mencuba nasib mencari trofi Muara Gum Gum dibantu oleh Rostam dan diketuai oleh Arbakin. Bagaimanapun cuaca hujan lebat hingga ke awal pagi pada hari sebelumnya membuatkan saya tidak meletakkan sebarang harapan langsung pada trip 'yang terpaling last untuk tahun 2010' ni. Kalau dapat ikan pun dah cukup baik.

Rostam mencedok air yang memenuhi dek belakang bot laju Arbakin. Umpan udang hidup dah tersedia untuk mancing seharian walaupun ada yang dah mati akibat air yang terlampau sejuk.

Dalam perjalanan ke lubuk pertama kami terserempak dgn bot pukat tunda. Saya diberitahu oleh Arbakin, ini satu satunya bot pukat tunda yang masih beroperasi di Sungai Beruang. Kebetulan masa tu, tuan punya bot tengah menarik pukat. Boleh la kami mintak sikit umpan anak-anak ikan kalau ada.


Anak-anak ikan yang boleh digunakan dibuat umpan. Walaupun keadaan air sungai sungguh keruh akibat banjir dihulu sungai dan hujan lebat kami tetap mencuba nasib. Kalau ada rezeki ada lah. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mancing, biar sampai pengsan.





Pada sebelah pagi kami dilayan oleh ikan kerapu, tetanda dan seekor gerepoh. Larian Gerepoh yang sungguh bertenaga menyebabkan kami bertiga panik seketika kerana menyangka ianya sang siakap.

Selepas makan tengah hari kami berpindah ke lubuk-lubuk lain yang dipercayai ada dihuni sang siakap. Hampir semua lubuk yang kami singgah ada menerima sambutan. Tapi tak la sehebat mana. Awam hitam mula memekatkan langit tempat kami memancing. Lantas lubuk yang lebih selamat dan terlindung dituju. Menurut kapten kami, keadaan air macam ni lah yang disukai oleh ikan sembilang. Kami memancing dalam hujan lebat tapi masih lagi terhibur dengan ragutan ikan sembilang.



Saya juga lah yang tak dapat sembilang. Petang tu saya cuma dapat ikan Pulau Bai yang dipercayai telah berhijrah ke Sungai Beruang iaitu ikan gelama dan utek. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menamatkan trip pada pukul 5 setengah petang selepas kilat dan guruh mengambil alih shift awan hitam. Arbakin : 2 tetanda/tabung, 2 sembilang, 1 depu. Rostam : 2 kerapu, 1 gerepoh, 1 sembilang. Saya : 1 kerapu, 1 utek, 2 gelama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...