Followers

Friday, December 30, 2011

Variasi Penghuni Parit Tepi Jalan

Sekian lama saya tidak memancing di tempat ini lantaran sibuk dengan aktiviti lain. Namun baru-baru ini saya mencuba di lubuk yang kami panggil 'Lubuk VOR'. VOR merujuk kepada antena lapangan terbang yang terletak tidak jauh dari situ. VOR yang bermaksud 'VHF Omni-Range' berfungsi sebagai alat navigasi yang memberikan panduan pada juruterbang di udara.

Tarikh : 28 Dis 2011
Target : Udang galah dan keli
Umpan : Cacing



Syok jugak mancing kat Lubuk VOR ni tambahan lagi lepas hujan. Kepelbagaian spesis yang mendiami parit ini menjadikannya tempat mancing kegemaran saya kalau tak ke laut. Tilapia, keli, tebal sisik, bulan, puyu, ketutu, haruan, malah sang sepit biru juga berkongsi habitat yang sama.


Hamsi dengan haruan. Masa ni hujan tengah turun makin lebat tapi kami teruskan mancing sebab ikan makin galak menjamah umpan.

Tiba-tiba sekor tilapia yang telah dipancing terlepas dalam lubang tepi parit. Sanggup turun dalam tu tangkap balik sebab saiznya yang boleh digoreng. Nasib baik dapat.



Kami pulang menjelang waktu maghrib dengan hasil keseluruhan 1.29kg. Namun udang galah dan keli masih belum berjaya didaratkan. Hasil dibahagi dua dan malam saya makan berlaukkan tilapia goreng taucu.

Tarikh : 29 Dis 2011
Target : Udang galah dan keli
Umpan : Cacing

Keesokkan harinya kami pegi lagi ke tempat yang sama untuk cari hasil sasaran. Hamsi mendapat bonus awal dengan ikan bulan panjang anggaran 10cm. Mungkinkah ada lagi ikan bulan atau tarpon yang lebih besar mendiami lubuk VOR ini?








Hasil pancingan hari ini sedikit lebih baik dari hari sebelumnya kerana ikan sasaran telah berjaya didaratkan. Lain-lain ikan tebal sisik, haruan, tilapia, puyu, ketutu dan ikan bulan sebagai bonus. Udang galah jugak yang belum naik. Cuma lupa nak timbang setibanya di rumah.

Malamya pulak saya makan berlaukkan sup ikan haruan. Betul-betul macam orang perempuan dalam pantang sesudah bersalin. Kalau ada masa terluang, pasti saya akan ke sana lagi. Begitulah istimewanya lubuk parit tepi jalan Sg Kayu di Sandakan ni yang dihuni pelbagai spesis air tawar.

Tuesday, December 27, 2011

Trip Pemanas Badan Di Musim Tengkujuh

Tarikh : 24 Dis 2011
Target : Mancing laut (bottom) dan sungai (casting) 2D1N
Ahli : Arbakin, Andi, Lee dan Yazid

Kami sampai sekitar pukul 8 pagi di jeti Sg Beruang, namun setelah menunggu 3 jam hujan lebat tidak menampakkan tanda-tanda akan berhenti. SMS amaran ombak kuat dan angin kencang yang diterima merisaukan kami. Lantas kata putus dicapai, trip dibatalkan kerana kami lebih sayangkan nyawa dari tarikan ikan yang belum tentu ada. Try esok pulak, mana tau cuaca ok.



Tarikh : 25 Dis 2011
Target : Mancing sungai (Daytrip) dan mungkin laut kalau cuaca baik.
Ahli : Arbakin, Andi, Lee dan Yazid

Cuaca di cuti Hari Krismas seakan memberi peluang pada kami untuk mencuba nasib. Trip hari ini disasarkan untuk mancing udang galah. Satu pengalaman baru untuk Andi dan Lee yang lebih teruja untuk mancing laut sebenarnya.


Wajah riang Andi semasa bertolak dari jeti Sungai Beruang sementara Lee membelakangkan kamera bagi menyembunyikan rasa excited beliau.

Udang galah pertama Andi dalam hidupnya. Namun beliau mendakwa tidak rasa langsung getuan sang sepit biru tersebut. Mana taknya, set pancing yang digunakan tidak sesuai untuk layan udang galah. Tapi itulah satu-satunya udang galah yang berjaya dipancing dalam trip ini.


Cuaca dan keadaan air pada hari tersebut benar-benar mempengaruhi aktiviti mancing kami. Bosan dengan menjenggo, kami try pulak pasang pukat untuk cari umpan untuk pancingan dasar. Ada la ikan 4 ekor yang kami potong-potong untuk dibuat umpan. Akhirnya Lee dapat sekor kerapu pucat sebab banjir.

Dari pagi sampai petang kami sentiasa berhujan yang hanya berhenti sekejap-sekejap. Mungkin trip ni juga boleh dinamakan "Bersembang sambil mancing di musim tengkujuh". Hehehe...

Thursday, December 8, 2011

SELUNSUNG MUARA GUM-GUM (Lesen selunsung tahun ini)

Berbekalkan pengalaman yang cetek tentang pancingan siakap, kegagalan demi kegagalan terus menghantui walaupun bermacam cara dicuba. Mengilat dengan pelbagai jenis gewang dan pancing dasar dengan berbagai tekni yang saya pelajari dari artikel-artikel majalah masih tidak membantu.


Sehinggalah saya bertemu dengan seorang nelayan sifu yang berpengalaman. Beberapa panduan berguna darinya cuba saya praktikkan. Ternyata ia amat berbeza dengan apa yang saya ketahui selama ini.
Pergerakan arus yang perlahan amat diperlukan.Waktu untuk menduganya tidak terhad pada waktu lewat petang atau awal pagi. Begitu juga perambut dan mata kail yang disyorkan amat tidak meyakinkanbagi pemancing yang baru ingin mencuba


Testing


Nak dapatkan umpan terbaik, kenalah menjala sendiri sebab ia tiada dijual di kampung saya.


Percubaan pertama selepas mendapat panduan nelayan sifu menyaksikan kejayaan awal yang menaikkan semangat. Kami menggunakan bersaiz 22 kaki panjang dan 5 kaki lebar dipacu oleh enjin sangkut 15 kuasa kuda. Kami singgah menjala udang hidup kerana ia adalah satu kemestian dalam trip memburu selunsung Gum-gum. Itu pesanan nelayan sifu.


Nelayan tempatan menggelarkannya "mata kail tuang". Ia juga sesuai untuk memancing siakap



Perambut tangsi disambung terus ke tali utama dan batu ladung yagn kecil bergerak bebas disepanjang perambut, cara ini paling saya suka.


Sebelum ini belanak dan beliak mata hidup pernah dipertaruhkan, tapi ternyata udang hidup bersaiz ibu jari juga yang terbaik. Selepas hampir 2 jam menjala, kami beroleh kira-kira 30 ekor udang yang sesuai untuk siakap. Kebetulan air pasang bergerak perlahan, amat sesuai untuk berlabuh di lubuk siakap.


Bersama harapan yang tinggi, kami berdua melabuhkan umpan. Hampir sejam juga menunggu, sehinggalah terasa pagutan pertama yang halus namun ianya hanya 2 kali. Lantas teringat pesanan nelayan sifu, "sapaan siakap akan terasa seperti umpan dijentik perlahan 2 atau 3 kali kemudian ia akan disusuli dengan heretan lembut seperti ditarik ketam. Saat itu lah joran sesuai disentap".


Lesen siakap pertama saya di Lubuk Selunsung Gum-gum.


Saya menanti pergerakan tali, seketika kemudian ia bergerak perlahan dan saya pantas menyentap. Joran lantas melengkung dan dihiasi jeritan kekili. Selepas 3 minit tarik tali, tumpaslah siakap pertama di lubuk yang terkenal dengan sang putih ini. Dalam trip percubaan pertama ini, saya berjaya menjerat 2 ekor siakap, manakala rakan saya hanya dihiburkan oleh talang juvenil.


Namun itu sebelum tebing lubuk dirobek jentera untuk dijadikan ladang sawit. Tebing sungai yang dulunya teguh bersendi hutan kecil kini menjadi botak dan bertarah. Anak sungai yang dulu tempat kami mengadu disaat mencari udang hidup kita ditimbus tanah dan terbentuk ban tinggi menghalang air masin dari memasuki kawasan ladang.


tebing sungai hanya tinggal kurang dari 10 meter dari air dan ditumbuhi pokok nipah yang kecil.. Pembukaan kawasan paya bakau untuk tujuan perladangan amat memberi kesan pada populasi siakap yang menghuni Muara Gum-gum. Kesan kerja-kerja pembukaan hutan begitu ketara hingga jarang kedengaran sebarang khabar dari nelayan atau pemancing yang mendaratkan siakap.


Kini tugas jentera sudah lama berlalu. Hanya tinggal benih sawit yang sudah ditanam dan dijaga menghiasi tebing sungai dan dilindungi sedikit barisan pokok nipah. Saya sebagai penggemar cabaran siakap begitu rindu untuk bertarung dengannya.


Cuba semula

Seharian diluangkan untuk menguji semula lubuk. Arus cukup cantik, air surut bermula seawal pukul 5 pagi dan berakhir pada tengahari dan akan bergerak pasang perlahan-lahan sekitar pukul 2 petang. Sebelah pagi diluangkan untuk menjala udang. Amat sukar untuk mendapat umpanterbaik dalam keadaan arus sebegitu. Saya bersama Jamil hanya mampu beroleh undang kurang dari 30 ekor dan bersaiz agak kecil.



Saiz mata dan jenis mata kail serta batu ladung yagn disarankan nelayan sifu untuk menduga siakap Gum-gum.


Saya tetap mengaplikasikan cara yang pernah diajarkan nelayan sifu kepada saya. Perambut sepanjang 2 depa berkekuatan 30 paun bersambung dengan ikatan albright dengan tali utama jenis braided 20 paun, mata kail VMC jenis biasa dan batu ladung hidup saiz kecil yang bebas bergerak di sepanjang perambut dan umpan udang hidup sebesar ibu jari.


Joran pula hanya berkekuatan 17 paun dan dipadankan dengan kekili Shimano aernoss 3000. Set sebegini sudah memadai untuk mencabar sang siakap. Bagi yang berani, Boleh mencuba perambut berkekuatan 20 paun kerana lebih halus perambut lebih tinggi kebarangkalian siakap menyentuh umpan. Air yang jernih pula menjanjikan potensi yang lebih tinggi.


Satu-satunya hasil selepas tebing lubuk berubah.



Sentiasa la bawa penimbang untuk mengetahui berapa besar tangkapan anda, jadi tidak perlu main agak-agak sahaja.


Hanya 15 minit menanti, sudah terasa getuan siakap. Lembut dan perlahan. Joran disentap bila saya merasakan sesuai. Selepas 2 kali aksi akrobatik, siakap menyerah di dalam sauk. Kepuasan benar-benar terasa walaupun ia hanya bersaiz 2 kilo lebih.


Selepas siakap pertama ditumpaskan, kami berdua terus menanti siakap kedua. Namun hanya ikan kecil yang mengusik umpan hinggalah kami pulang. Ternyata benarlah kata nelayan sifu, semenjak tebing di lubuk diteroka jentera pengorek, siakap kini semakin culas. Jarang benar saiz yang gadang menguji pancing.



Rakan saya hanya memperolehi seekor kerapu.


Sungguh pun lubuk siakap yang saya gemari bertambah suram, namun harapan masih disimpan. Semoga akan berulang semula kemegahan lubuk seperti namanya Lubuk Selunsung Gum-gum.


(Majalah pancing bil 170 Disember 2011)

Tuesday, December 6, 2011

TUAH ROSLI (LELEK) SELEPAS BERPANTANG.

"Ahad ni mesti jadi" seorang rakan sms aku awal lagi. Aku mengiyakannya. Aku cukup maklum, rakan tu dah lama cuti dari mancing lantaran menunggu kedatangan seorang ahli baru dalam keluarganya. Selepas isterinya bersalin, trip untuk melepas gian mesti diatur.

Hari ahad, Rosli yang dah lama tak turun, Andi Max, Lee dan aku bersedia untuk mempertaruhkan senjata tempur di perairan Teluk Labuk. Sehari sebelum trip, aku berusaha mendapatkan umpan udang hidup. Malangnya tukang jala tidak turun menjala udang tapi turun memancing udang la pula. Aku terpaksa turun sendiri dan beroleh sekitar 40 ekor namun keesokan harinya semua udang hidup yang disimpan dalam takungan udang didapati mati. Sungguhpun begitu aku tak risau sangat kerana khabar dari dandulit mengatakan bahawa udang kapur dah mula muncul. Aku cuma perlu sediakan pukat 3 lapis untuk dapatkan udang umpan.

Sekitar jam 8 pagi, bot bergerak pantas menuju ke area Dandulit. Alhamdulillah, umpan no satu berjaya dimiliki walaupun tak sebanyak yang diperlukan.





Saat menanti pukat udang. Lee (gambar atas) dan Andi(gambar bawah) santai manakala Rosli yang dah lama cuti menyediakan set pancingnya kerana aku biasa cakap, siapa turun pancing dulu dia dapat ikan dulu.


Ternyata kenyataan itu menjadi pada Rosli. Selepas dapat umpan, Kami berkejar ke Lubuk tajam untuk mengusik sang kerapu.

Aku pula orang kedua mendaratkan ikan. Tabung pertama dalam trip ini.



Giliran Lee pula. Kerapu yang terpaksa ditarik dengan kasar sebab takut menyusup masuk dalam lubang.

Rosli bersama kerapu keduanya.



Aksi Lee untuk kerapu kedua yang agak agresif dapat dirakam. Sayangnya ketika gambar bersama ikan diketik, sang pengetik tak perasan muka Lee ditutupi. Entah tak perasan atau jeles. Hehehe...

Gambar diatas sekadar ingin merakam sebuah lagi bot yang turut mengekor kami untuk join memancing. Bot fiber yang dinaiki oleh 3 sepupu aku dan seorang lagi adalah ipar aku. Mereka turun seawal jam 7 pagi namun hanya dapat merendam umpan setengah jam selepas kami memancing lantaran kehilangan lubuk. Mujur mereka nampak bot kami dari kejauhan.

Selepas beberapa aksi yang dilakonkan oleh ikan kerapu yang hanya bersaiz kecil, aku mencadangkan Pulau Baru untuk dicuba. Semua pemancing bersetuju termasuk Bot fiber yang sebuah lagi. Kami pun bergerak ke Lubuk Pulau Baru yang hanya sejauh 1.8 kilometer dari Lubuk Tajam.

Permulaan yang agak sunyi membuatkan aku rasa gelisah. Tiada tanda-tanda getuan ikan kecil. Apatah lagi ikan besar. Hampir setengah jam juga menanti. Aku yang menumpukan perhatian pada hujung joran ku tiba-tiba dikejutkan dengan aksi Lee yang bertarung dengan sang misteri. Joran 30lbs, 5 kaki dan ditemani oleh kekili menegak serta tali sulam 50lb ditekan dengan kuat hingga Lee hanya mampu menyandarkan batang joran ke birai bot sambil menanti pecutan ikan berhenti. Malangnya, pertarungan berakhir dengan ketewasan sang pemancing. Lee kecewa bila tali sulamnya tertewas. Entah ikan apa. Andi Max turut merasai kekecewaan itu. Jarang peluang sebegitu terhidang pada mana-mana pemancing. Giliran Andi tiba juga bila dia kelihatan menyentap kuat jorannya. aku lihat Andi cukup bersedia dengan satu pertarungan yang bakal dilaluinya namun sayang. Perambut yang dipertaruhkannya tewas sebelum pertarungan bermula.

Kali kedua umpan Andi diculik tidak lagi mengecewakan. Akhirnya sang misteri terdedah juga. Tabung berskala 1.5 kilo punya angkara. Aku sendiri belum pernah mengalami pengalaman begini Disiang hari. Sang EMAS berani melarikan umpan hidup kami.



Aku juga memiliki trofi yang sama dengan Andi. Seekor Tabung tertarik dengan umpan hidup ku. Pecutannya amat menghiburkan. Mungkin saiz yang menguji Lee lagi bagak dari saiz ini.



Rosli juga tidak ketinggalan Setelah lama berpantang dari turun ke laut, dia dihiburkan oleh pecutan tabung yang jarang dapat dimiliki disiang hari.

Tabung kecil juga menjadi mangsa kami.

Rosli bersama tabung keduanya yang berskala 1.7 kilogram dan sekaligus meletakkannya sebagai pemancing terbaik di Pulau Baru.

Tabung pertama Andi tadi berjaya meningkatkan semangat semula setelah sunyi di Takat Tajam. Tabung kedua Andi juga seperti tabung kedua aku yang cuma skala tak sampai sekilo.

Walaupun kami puas dengan pecutan penghuni Pulau Baru, Lee yang mulanya diuji dengan pecutan ganas gagal mendaratkan tabung peribadinya di Pulau Baru. Begitu juga dengan sepupu-sepupu aku yang berlabuh hampir dengan kami. Hanya mampu melihat kami bertegang urat dengan ikan tabung. Akhirnya kami beralih ke keriting setelah Pulau Baru sunyi dari getuan.




Andi dan hasil pancingan Andi dan Lee. Gambar diambil ketika dalam perjalanan ke Takat Keriting. Di Keriting, Lee cuba mendahului pemancing lain ketika bot sudah berlabuh. Sayangnya sunyi. Aku mengajak beralih sikit. Juga sunyi. Kali ketiga kami beralih baru lah ada getuan dari penghuni lubuk.


Lee berjaya mendahului kami dengan seekor Kaci yang kuat melawan.



Bot sebelah yang terdiri dari sepupu-sepupu aku juga turut berpesta di sini. Satu demi satu ikan kerapu dan merah menjadi mangsa mereka. Begitu juga kami. Saat ikan merah tak henti-henti makan, tiada siapa lagi mau menangkap gambar. Pesta 'taruk makan, taruk makan' berlangsung kira-kira setengah jam. Cuma yang mahir saja bakal meraih ikan yang banyak. Bagi mereka yang kurang mahir penyentap pasti kurang juga hasilnya.Lee yang berjaya mendaratkan kaci keduanya. Aku juga memiliki kaci namun tidak difotokan juga.

Satu-satunya gambar ikan merah yang ditangkap. Itu pun sebab sudah dicukai oleh sang alu-alu. Patutlah frenzy ikan berhenti tiba-tiba. Rupanya ada peronda.



Hasil pancingan Lee dan Andi. Merah, kaci, kerapu dan tabung.Kami sepakat pulang tepat jam 5. Umpan pun sudah habis. Bot yang sebuah lagi dah lama pulang gara-gara umpan habis. Masing-masing puas dengan layanan penghuni lubuk Teluk Labuk.Hasil keseluruhan satu bot.Hasil Andi dan Lee. Bahagian depan bot.



Hasil aku dan Rosli bahagian buritan bot.

Kali ini, aku dapat rentak pergerakan yang agak baik. Setiap lubuk dilawati diwaktu arus pasang dan surut yang sesuai. Ditambah lagi dengan umpan terbaik bagi aku. Alhamdulillah. Arus hampir serupa akan berulang lagi 2 minggu akan datang. Semoga umpan terbaik juga tidak menghilang waktu itu. Aku teringin berhibur lagi.

Akhir sekali... Tahniah buat Rosli yang pertama kali turun selepas lama bercuti lantaran menanti puterinya. Juga tahniah buat Saudara Mayong yang masih belum turun mancing walaupun putera keduanya sudah dilahirkan. Kami tetap menanti. hehehehe.....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...