Followers

Sunday, September 2, 2012

TRIP SANTAI BERAYA

Sudah lama raya berlalu. Kesibukan pun sudah tidak mendesak lagi. Cuti yang panjang kini mula berakhir. Kerja bakal menjadi rutin semula. Dalam kesibukan bercuti raya dan kunjung mengunjungi sesama keluarga dan rakan, sempat juga aku mengaturkan satu trip kunjungan ke kawasan yang berjiran dengan perairan Teluk Labuk. Matlamat utama bukanlah memancing semata-mata tapi bersantai, berkelah, malah memburu tersenarai dalam aktiviti trip kali ni. Hanya 3 orang kaki pancing dari 11 peserta yang bakal diangkut oleh 3 buah bot kali ini.


 Trip tiga hari dua malam. Semestinya menuntut banyak barang disediakan.

Kami mula bergerak sekitar jam 9 pagi pada hari raya keempat. Bot ketiga terlewat sehingga pukul 8 malam untuk memulakan pergerakan lantaran seorang ahli terlewat gara-gara sibuk beraya. Bagi kami yang sudah tiba di lokasi sekitar 2 jam setengah selepas bertolak, aktiviti trolling dijalankan untuk mencari lauk sebelum malam. Kami cuma merancang akan memancing secara serius ketika malam kerana kami langsung tak bawa sedikit pun umpan. Hanya berharap pada lampu dan sotong yang disauk. Jatuhan pertama gewang bersambut. Gewang Ahui jenis halco sorcerer 125 berwarna keemasan dilarikan oleh pemangsa yang ganas. Sang alu-alu menjadi terkaan ku dan ternyata salah.


 Seekor kanai berskala 3 kilo rebah dipangkuan Ahui selepas pertarungan berlalu. Satu permulaan yang baik bagi kami yang mengharap ikan yang berkualiti tinggi sebagai santapan malam.

Selepas kanai dihantar kepada krew dapur, kami bergerak lagi ke lokasi pertama tadi dan menunda gewang serapat mungkin dengan tebing. Sonar menunjukkan tebing yang agak menjunam berkedalaman 10 kaki dan sesuai dengan habitat sang kanai ditambah lagi dengan reba bakau yang rebah. Satu henjutan lagi mengejutkan Ahui dan mendesak aku menghalakan bot ke tengah sungai. Pecutan agak lemah tapi lantaran racun kanai pertama tadi masih bergema, bayangan kanai bermain di kepala.

 Persoalan terjawab selepas siakap merah muncul setelah berjuang habis-habisan. Lagi sekali hadiah buat Ahui. Selepas Siakap Merah di daratkan, kami berulang-ulang menunda kawasan 'panas' malah gewang casting selaman dalam juga dipertaruhkan namun sepi. Kami mengalah dan bergerak balik ke kem sementara untuk membantu menyediakan makanan. Masa waktu dah lebih pukul enam petang. Dah hampir sehari suntuk tak makan.

 Lauk makan tengah hari sekali dengan makan malam.


 Santapan pertama pada hari pertama. Satu team yang belum sampai terlepas menikmati hidangan hari pertama kami. Bot ketiga tersebut hanya berjaya tiba dan bersatu dengan kami sekitar jam dua pagi selepas merempuh ribut dan tersasar haluan kira-kira 10 kilometer dari lokasi.

Pada malam pertama, tiada aksi dirakamkan dari kedua-dua buah bot. Semua jadi lemah bila sotong jarang timbul. Bila dah dapat sotong, ikan pula tak mesra. Arus pula menggila membuatkan kami tidak lama bertahan. Bila bot ketiga datang lapor diri, kami bergerak ke sebuah penempatan sementara nelayan untuk melayan mengantuk. Tak guna juga bersengkang mata. Aku cuma beroleh seekor kerapu kira-kira satu kilo sebelum arus surut bergerak laju.


Hari kedua, pagi, kami bertapak di sebuah perkemahan nelayan yang ditinggalkan kerana musim raya. Andai kami bertandang diwaktu lain, mesti ada nelayan yang berkemah disitu. Banyak pondok nelayan yang dibina untuk mereka tinggal sementara. Mujur juga rakan-rakan semua menghormati peralatan nelayan yang ditinggalkan. Peralatan dapur, pukat, tali, lampu dan banyak lagi tidak disentuh. Kami hanya tumpang memasak dan berteduh. Pun begitu, kami cuma berada sehingga tengahari. Bot ketiga dengan kapasiti 4 orang bergerak seawal pukul 5 setengah untuk mengepung ikan belanak. Dua bot lagi termasuk bot aku menanti sambil menyediakan sarapan.


Sunal (baju biru) yang menjadi tekong bot ketiga mengetuai team cari belanak. Mereka balik ke kem untuk sarapan sekitar pukul 8 setengah. Kami bergerak untuk trolling selepas semua selesai. Tiada aktiviti pancing dasar memandangkan kami tiada bekalan umpan.

Hampir sehari suntuk trolling, 2 buah sistem muara di jelajah dengan tabah. Namun satu henjutan pun langsung tiada menghibur kami. 2 bot yang lain pun menerima nasib yang sama. Kami sepakat bermalam di satu lagi sistem muara yang berhampiran. Bila tiada tangkapan ikan segar pada hari kedua, kami terpaksa korbankan ikan belanak dan siakap merah yang sudah dimasukkan dalam peti simpanan.

Belanak masak sup dan siakap merah masak kari.


Suasana sistem muara yang kami lawati ketika trolling. Ini waktu kami rehat dan berteduh. Masih  ada yang setia membaling gewang.
Malam kedua bersama semua kesebelasan peserta. Cuma tak semua la ada dalam gambar.



Antara aktiviti yang meriah. Makan ramai-ramai.

Malam kedua, hanya satu bot yang berlabuh untuk memancing. Aku turut tertewas dengan mengantuk. Malas menguasai bila kenyang. Hanya berharap dikejutkan bila ikan frenzy, namun tetap tidak berbeza dengan situasi malam pertama. Kesuraman aktiviti memancing pada trip ini disumbangkan oleh arus pasang surut yang agak laju. Bot ketiga bergerak ke hulu sungai untuk memburu sang pelanduk. Pun pulang dengan tangan kosong.


Kenal tak spesies ni? Bila aktiviti trolling hari ketiga sudah tiada hasil, kami menghabiskan sisa-sisa masa dengan mencari lokan pasir. Orang kampung panggil KUNAU.

Ni kawasan kami mencari.

Ada yang bermain bola di pantai. Kami pergerak pulang ke Sg Beruang selepas menikmati makan tengahari hari ketiga.

Kalau trip ini dilihat dari sorot mata kaki pancing, ia memang mengecewakan. Namun bukan mudah nak mengheret peserta yang bukan kaki pancing dalam trip ini untuk tumpu pada aktiviti memancing memandangkan kami yang bergelar kaki pancing hanya 3 orang. Maka kami yang minoriti terpaksa akur dengan kehendak majoriti. Telah dipersetujui dari awal bahawa trip ini adalah trip berkelah. Sebab itulah ramai yang bukan kaki pancing terlibat. Pun begitu, aku tetap anggap trip ini antara yang terbaik berbanding trip-trip lepas yang seperti ini. Kerjasama semua peserta cukup baik. Masing-masing ada bahagiannya sendiri. Apa pun bagi kaki pancing diluar sana, sekiranya anda bersedia bersusah payah berpenat lelah seperti trip ini, anda boleh sampai ke sini dan bermalam di kawasan lubuk 'jiran Teluk Labuk' ini. Potensi nya memang sudah jauh menurun namun kalau datang pada waktu yang tepat, anda tetap akan di uji. Berani kah?

4 comments:

mayong said...

kalau saya tak berani lah, mcm byk betul dugaannya ni... hehehe... tapi kalau setakat 2H1M mungkin boleh...

Anonymous said...

Bestnya kalau dapat repeat trolling kat sungai ni.hehehe

alphakilo said...

nak cuba ke mayong? kita bawa kemah lah.. siang ja mancing.. malam tido.. heheh.. satu malam ok la tu.. aku pun letih kalau 2 malam.
pernah trolling sini ka yie.. dekat dengan sugut ni tapi bukan sugut lah.. tapi aku pun kurang mahir dengan lokasi hangat sini ni..

Anonymous said...

ooo,saya ingatkan sg beruang.hehehehe

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...