Followers

Friday, September 7, 2012

Melancong Sambil Memancing ke Pulau Lankayan dan Pulau Selingan

Pulau Lankayan dan Pulau Selingan memang tidak asing lagi bagi penduduk Sandakan khasnya kaki-kaki pancing kerana kecantikan pulau serta kepelbagaian spesis hidupan laut. Namun begitu kedua-dua pulau ini dilindungi di bawah Taman-Taman Laut Sabah dari sebarang aktiviti penangkapan ikan dan pencemaran.

Hal ini telah menarik minat bos tempat saya bertugas iaitu Encik Lai Kok Diing untuk melawat pulau-pulau ini    sambil diselit dengan aktiviti memancing untuk menghilangkan stress bekerja. Saya diamanahkan beliau untuk menguruskan bot serta kelengkapan lain untuk ke sana.


Cuma kami berlima yang dapat turut serta trip ini memandangkan ianya diadakan pada hari Isnin. Isnin 3 September sengaja dipilih untuk mengelakkan bertembung dengan trip pemancing yang biasanya telah menempah bot lebih awal pada sabtu dan ahad.


Bot Jack yang telah ditempah awal terpaksa ditukar pada bot Ah Kong kerana masalah teknikal. Mujur trip tidak dibatalkan dan kami berlepas dari jeti pejabat pos Sandakan sekitar pukul 8 pagi. Destinasi pertama, Pulau Lankayan.




Shafri yang bukan kaki pancing sedikit teruja apabila telah membeli beberapa peralatan memancing walaupun sekadar handline.



Bot terasa begitu luas dan selesa bila cuma 7 orang termasuk kapten bot dan pembantunya yang menyertai trip ini.


Perjalanan ke Pulau Lankayan mengambil masa lebih kurang 90 minit dari Sandakan.




Permandangan Pulau Lankayan dari udara. Sumber, Google.

Kami semua begitu teruja apabila menjejakkan kaki di jeti, kerana inilah kali pertama buat kami semua sampai ke Pulau Lankayan, sebuah pulau yang selama ini hanya disebut dan mampu dibayangkan sahaja dalam fikiran.



Kalau dah kerja di airport ni tak bergambar dengan apa sahaja yang berkaitan penerbangan memang tak sah. Tambahan pula di tempat yang tak pernah kami sampai.




Kejernihan air amat memukau sesiapa sahaja yang sampai ke pulau ini. Namun kami hanya dibenarkan oleh pihak pengurusan untuk berada di jeti utama sahaja kerana tidak membuat tempahan awal dengan pejabat mereka di Sandakan.








Setelah puas bergambar kenangan, kami meninggalkan Pulau Lankayan dengan satu pesanan terakhir dari pihak pengurusan supaya jangan memancing 20 batu nautika radius pulau itu kerana ianya kawasan larangan memancing.

Lantas kapten bot membawa kami ke satu kawasan skau karam di perairan Sugut. Ternyata memang banyak ikan kecil mendiami kawasan tersebut yang sesuai dipancing menggunakan teknik apolo. Saya mengambil peluang untuk membantu dua orang yang bukan kaki pancing, En Lai dan Shafri untuk mendapatkan lesen pertama mereka. Sekejap saja setengah tong coleman kami penuhkan dengan ikan kerapu, titir, kerisi, pisang-pisang, merah, cencaru dan selar kuning.



Herman bagaikan tidak percaya bila apolo yang beliau gunakan disambar tenggiri. Kami semua semakin bersemangat untuk memancing. Tambahan pula spot tersebut hanya berkedalaman 25 m sahaja. Untuk rekod, Herman pemancing senior yang memang biasa memancing laut di kedalaman 150 m hingga 250 m semasa beliau bertugas di Kota Kinabalu.


Bob, baru ditugaskan di Sandakan. Kali pertama memancing di Sabah. Menurut beliau sudah 2 tahun, beliau 'cuti' memancing atas alasan sibuk dengan tugas. Untuk rekod, Bob pernah menaikkan 7 ekor tenggiri dengan teknik casting dalam masa sejam di Pulau Sembilan, Perak.


Kami pindah di beberapa spot yang ikannya lebih kurang sama spesis dan saiz. Saya mencuba tenknik berhanyut di belakang bot. Umpan ikan lumahan mati saya cangkuk kemas pada mata kail single dengan perambut steel 40lb sepanjang setengah depa. Dah lama perambut tu saya buat dan simpan namun tak pernah digunakan.

Sedang saya leka menyiapkan satu lagi joran saya untuk teknik apolo, tiba-tiba reel Daiwa Liberty usang saya berdesing memuntahkan tali sulam Berkly 50lb dengan laju. Pada awalnya saya sendiri tidak yakin mampu menaikkan mangsa kerana dirasakan begitu kuat sekali lariannya. Tambahan pula, cincin joran ada yang patah, tali sulam yang reput, berbulu-bulu dan sengal-sengal tangan kanan masih terasa akibat serangan ikan jemuduk dalam trip 2 hari sebelum itu.


Kira-kira 10 minit bertarung dengan sokongan dan semangat kawan-kawan, seekor tenggiri dengn berat 5.33 akhirnya berjaya dinaikkan. Satu pengalaman dan bonus yang cukup berharga buat saya kerana inilah kali pertama saya mancing dapat tenggiri.


Tenggiri bersama kumpulan sorak. Terima kasih kawan-kawan.


Di satu lagi spot bersebelahan Pulau Lihiman, Herman dan Bob berjaya menaikkan ikan merah. Umpan isi titir segar yang dipancing di spot sebelumnya membuahkan hasil. Saya cuba untuk mendapatkan bonus kedua namun gagal. 



Cuma 2 ekor ikan merah berjaya dipancing.


Setelah puas memancing, bos kami Encik Lai mengambil keputusan untuk berehat. Shafri masih setia dengan teknik apolo. Seronok juga dia dapat ikan yang banyak.



Bergambar dengan kerapu pancingan kapten bot berlatar belakangkan Pulau Lihiman.

Sebelum pulang ke Sandakan, kami singgah ke Pulau Selingan, bagi memenuhi hajat En Lai. Sebaik menjejakkan kaki di pulau tersebut kami dikenakan bayaran RM20 seorang oleh pihak pengurusan Taman-Taman Laut Sabah. Kami juga diingatkan untuk menjaga kebersihan semasa bersiar-siar dan mandi.




Menurut pihak pengurusan, antara bulan Jun hingga Ogos, setiap malam berpuluh-puluh ekor penyu akan naik mendarat di pantai untuk bertelur. Patut la masih banyak jaring-jaring hijau di mana telur-telur penyu ditempatkan.


Pulau ini juga lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung yang datang.




Lubang -lubang yang telah dikorek untuk mengeluarkan telur penyu.


Pantai Pulau Selingan yang bersih.



Perjalanan kami pulang ke Sandakan melewati berpuluh puluh bagang yang baru dibina beberapa bulan lepas.




Menjulang trofi kejuaraan sebaik tiba di jeti pejabat pos.


Hasil dibahagi sama rata.


Pada keesokkan malamnya kami makan di sebuah restoran berlaukkan 2 ekor ikan merah masak stim dan malam berikutnya kami mengadakan BBQ hari raya. Antara lauknya ikan tenggiri, cencaru, kerisi dan pisang-pisang bakar. Sebahagian lagi tenggiri dimasak asam pedas. Memang seronok dapat makan ramai-ramai ikan yang dipancing bersama.



Apa pun jutaan terima kasih pada En Lai, bos tempat saya bertugas kerana telah sponsor sepenuhnya tambang bot pada hari itu. Bukan murah tu, RM1600!

7 comments:

alphakilo said...

tahniah bro.. ikan kertam belum habis dah ada stok ikan baru lagi grade. hanya dengan liberty kecil berjaya heret tenggiri gadang.. hebat..

mayong said...

mungkin nasib saya hari tu ada sikit baik... syukur alhamdulillah...

rayz said...

best2... gambar mantap... cerita pun canteekkk!!

Unknown said...

Bro.... Macam mana mau pergi Pulau Lankayan? Klu ikut package mahal bha, ada idean lain kah boleh pi sana?

mayong said...

ikut bot ah kong la.. sbb ah kong ada lesen landing bawak pelancong landing ke pulau pulau tu.. satu bot RM1800

Anonymous said...

Boss bagi sy no si ah kong. Mau buat trip lawatan sekolah

mayong said...

Alamak bos, teda sudah saya simpan tau... cuba kau tanya Rodney 013-8802622 dia ada simpan

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...