14 april, satu tarikh yang menyaksikan satu trip yang telah lama dirancang. Rasanya dari tahun lalu lagi tapi tertangguh gara-gara mencari ruang dan luang yang paling baik. Rostam, Lelek dan Yazid menjadi peserta manakala aku kekal sebagai tekong. Teluk Labuk menjadi sasaran kami. Pergerakan dari jeti bermula sekitar pukul 8 setengah. Selepas bot melepasi muara Gum-Gum. aku memacu bot menuju lokasi ikan tamban yang sering diceritakan oleh nelayan. Malangnya selepas membuang masa agak lama, kami gagal bertembung dengan kumpulan ikan tamban. Harapan berumpankan tamban hidup terpaksa dilupakan. Kami bergerak menuju ke laut pantai dandulit untuk membeli udang kapur dari nelayan. Selepas dapat udang hidup, kami memecut ke lubuk pertama, Pulau Baru. Nampaknya tiada saingan. Hanya selepas hampir setengah jam berlabuh baru la ada sebuah bot yang datang untuk menahan rawai.
Di Pulau Baru, Lelek menjadi orang pertama yang mendaratkan mangsa.
Aku pula peserta kedua. Daun baru yang disangka gerepoh.
Rostam tetap tersenyum dengan tangkapan pertamanya, ikan baji. Terbaik..
Tabung dari Yazid. Permulaan yang sederhana dari seorang juara.. hehehe..
Selepas beberapa ekor lagi naik, lubuk sunyi dari pagutan. Kami sepakat untuk berpindah ke Lubuk kedua, Scow. Namun kemesraan panghuninya juga agak hambar lantaran arus yang kurang sesuai. Scow hanya berpotensi dilawati ketika arus mula bergerak surut. Selain waktu itu, pasti berkeputusan hampa.
Hanya seekor kerapu dari Scow difotokan memandangkan yang lain terlalu kecil untuk ditayangkan di khalayak ramai.
Selepas itu, kami beralih ke Batu Mandi sebelum ke Keriting kerana faktor arus yang belum sesuai. Perjalanan yang memakan masa hampir setengah jam beralih lubuk memberi sedikit kelegaan pada para pemancing yang terbakar oleh hangat matahari yang terik. Angin segar terhasil dari pergerakan bot yang laju memberi sedikit rehat pada kulit kami semua.
Keputusan di lubuk ketiga juga berkesudahan dengan sapaan yang kurang. Ikan kerapu dan merah hanya sesekali meragut umpan dan menghibur pemancing.
Tanpa menanti arus terbaik, aku mencadangkan lubuk Keriting sebagai persinggahan terakhir kerana aku yakin dengan lubuk tu. Pasti ada meragut cuma saiz yang membezakan. Benarlah, getuan demi getuan terus dilayan namun sukar di sabit dengan mata kail. Aku sendiri geram dengan situasi begitu. Cepat benar ikan kecil menghabiskan umpan. Hanya sesekali kerapu dan merah dapat dinaikkan. Diselangi oleh bebolos dan tambak.
Hadiah terselit diantara getuan kecil di takat Keriting untuk ku.
Koleksi tangkapan Yazid di Keriting. Merah, kerapu, tambak dan beberapa jenis lagi yang tidak difotokan.
Lelek juga tidak ketinggalan dengan kerapunya. Banyak juga ikannya yang tidak dirakam dengan kamera.
Selepas terasa asyik dipermainkan di lubuk Keriting, kami beralih ke Tadika untuk mecuba nasib namun tetap sama dengan Keriting. Hanya ikan kecil yang sudi menjamah umpan. Aku sebagai tekong terasa kehabisan modal untuk dihidangkan pada pemancing. Hanya lima lubuk itu saja yang terbaik ada pada aku. Keadaan arus yang bergerak amat perlahan membuatkan sang penghuni lubuk menjadi pasif dan enggan menjamah umpan yang kami hulurkan. Memandangkan hari masih awal, aku mencadangkan lubuk-lubuk cetek yang hanya sesuai dilawat waktu malam. Manalah tahu ada rezeki.
Lubuk TEPISA namanya. Ikan Daun Baru hidangannya. Sayangnya hanya untuk Rostam. Kami bertiga masih berharap yang lebih baik.
Beberapa ketika selepas Rostam dihidang Daun Baru, Yazid pula menerima habuan lumayan.
Berskala 1.98 kilogram dan sekali gus mengangkat Yazid sebagai juara diantara kami.
Aku dan yang lain mengharap kerapu atau ikan lain yang lebih besar sebelum wisel penamat dibunyikan. Kerapu ini cukup menjeleskan aku. Berbeza dengan Rostam dan Lelek yang selamba papa ja tengok kerapu saiz stim begini..
Selepas lubuk cetek sunyi, aku bercadang melawat beberapa terumbu batu yang lebih cetek dan hampir dengan daratan.
Namun tetap sunyi dan sepi tanpa pertarungan. Hanya sesi fotografi alam sekitar yang Yazid lakukan.
Hasil tangkapan Rostam, Lelek dan Yazid.
Foto-foto yang Yazid tangkap sebelum kami bergerak pulang.
Hasil kesemua pemancing dikumpul setelah bot ditambat di Jeti.
Melalui analisis pemerhatian aku yang tidak seberapa ini, antara faktor yang gagal kami tangani adalah waktu. Dari segi peralatan, tempat dan umpan tiada masalah. Tarikh yang dipilih mensajikan arus yang sangat perlahan dan membuatkan ikan kurang keaktifan untuk memburu. Arus terbaik amat diperlukan untuk mengheret ikan perkasa di Pulau Baru. Untuk berdepan dengan cabaran terbaik Pulau Baru, kami perlu melawatnya disekitar 17 atau 18 april. Namun apa boleh buat, tarikh tersebut jatuh pada waktu kerja. terpaksa kami turun mengikut jadual cuti umum. Pun begitu, masih ada laba menjadi buah tangan untuk KDN terutama Yazid yang pasti menghulurkan kerapu saiz hampir 2 kilo untuk dijadikan lauk segar dan dinikmati bersama keluarga? Namun ada persoalan yang harus diambil kira oleh semua pemancing pada trip tersebut. Benarkan Yazid meraih tangkapan terbesar pada hari itu? Bagaimana dengan ikan gelama aku yang berskala 3.54 kilo? Siapa yang sedar waktu aku mendaratkannya di Pulau Baru?
Walaupun hanya sekadar ikan gelama, namun saiz memainkan peranan. Pertarungan antara aku dengan sang gelama begitu mengasyikan. Lama benar tak lawan dengan ikan yang berdaya tahan dan degil.
Satu trofi yang jarang direkodkan di Pulau Baru. Tangkapan pembukaan pada trip kedua dihari kedua selepas trip bersama Yazid. Trip yang disertai oleh 3 pemancing yang berpengalaman namun sayang, hanya ini yang ada sebagai kenangan. Itu pun sudah ku tabahkan hati untuk meminta pemancing terhampir untuk meluang masa menangkap gambar. Bagaimana tidak? kail pertama diturunkan saja sudah diragut renggutan kasar sayangnya rabut. Begitu juga yang seterusnya. Hanya aku yang berjaya mengheret naik gelama, tabung dan kerapu sebelum lubuk menjadi sunyi 15 minit kemudian. Dalam kesibukan begitu dan waktu yang sangat pendek jelas membuat aku segan untuk meminta mereka berposing atau memfotokan gambar aku.
Untuk Yazid, anda tetap juara ditrip kita. Dua gambar terakhir ini adalah nukilan dari trip keesokan harinya bersama team pemandu lori yang juga team baru ingin mencuba. Mari, rancang lagi trip anda, lubuk terbaik aku tetap setia walau sering dinoda oleh pelbag ai cara. Asalkan kita bercanda dengannya diwaktu yang terbaik bersama persediaan terbaik. Pasti tercoret lagi kenangan indah dilensa kita.........
3 comments:
tahniah
kimpanas
hehehe.. gelama ja ba tu bro..
Post a Comment