Sedang kami menikmati pemandangan indah di sekeliling Pulau Mabul pada pagi hari pertama kami di sana, kami ternampak anak orang Bajau Laut yang pulang dari memancing. Terdetik di hati, boleh tahan jugak kalau mancing santai dengan hasil ikan-ikan macam tu. Lagipun saya cuma bawak koyan sebab niat kami bercuti, mancing bukanlah agenda utama. Lantas perjanjian dibuat dengan anak-anak Bajau tersebut untuk sama-sama turun mancing pada pukul 2 petang nanti. Semua hasil pancingan akan diberikan pada mereka. Ada lah jugak aktiviti kami di pulau ni.
Jernih betul air laut di Pulau Mabul. Batu-batu karang dan hidupan laut dapat dilihat dengan jelas.
Tiba masa yang dijanjikan, kami pun bertolak dengan ke lubuk pertama mereka. Kali ini dengan perahu Bajau yang lebih 'besar'. Ar yang berumur 12 tahun berdayung di buritan perahu yang panjang hanya kira-kira 10 kaki dan lebar 2 kaki, sementara Etot di bahagian depan perahu.
Dah ada umpan, kami pun mula la mancing. Tak lama lepas tu Nazlee dulu dapat ikan tapak kasut, diikuti saya dengan anak kerapu, Ar pun dengan anak kerapu. Saya anggarkan kedalaman air ketika itu antara 10 hingga 15 kaki.
Di belakang tu adalah Sipadan Water Village Resort
Namun kegembiraan kami tidak lama. Tiba-tiba perahu yang kami naik, hilang keseimbangan lalu terbalik. Keempat-empat kami tercampak ke laut tanpa jaket keselamatan. Saya dan Nazlee yang tidak tahu berenang cuma mampu berpaut pada perahu yang hampir karam. Kami dibawa ke tepi oleh Etot dan Ar.
Sampai di tiang-tiang Sipadan Mabul Resort, Ar dan Etot bertungkus lumus membetulkan perahu dan mencedok air keluar menggunakan kasut Crocs pasar malam saya. Nazlee dan saya kini berpaut di tiang resort Sipadan Water Village. Saya cuba memegang pendayung dari terus hanyut. Baru kami sedar yang air mulai pasang. Kami cuba menyelamatkan apa yang termampu. Handphone Samsung Galaxy Y yang baru saya beli 4 Januari lalu confirm dah masuk air. Begitu juga dengan kamera digital Olympus VG-120 yang saya beli tahun lalu. Pada masa kritikal begini cuma nyawa yang lebih diutamakan.
Setelah Ar dan Etot selesai mencedok kesemua air keluar dari perahu, Nazlee masuk semula ke dalam perahu diikuti saya. Namun sebaik sahaja saya berjaya naik, sekali lagi perahu itu terbalik. Saya terkapai-kapai dan tertelan air laut yang agak banyak sebelum dapat mencapai tiang resort. Paras air semakin naik. Angin mula bertiup lebih kencang. Kami mula kesejukan. Semasa Ar dan Etot membetulkan perahu yang terbalik baru kami tersedar yang pendayung telah hilang dipercayai hanyut dibawa arus.
Kotak biru menunjukkan lokasi lodge Uncle Chang dan kotak merah menunjukkan lokasi kami memancing. Titik merah pula menunjukkan lokasi di mana perahu kami terbalik kali pertama dan titik biru lokasi perahu terbalik kali kedua. Rupanya lokasi pertama perahu terbalik betul-betul di tepi 'cendawan' Pulau Mabul. Drop off yang menjunam ratusan kaki ke bawah. Mujurlah air baru mulai pasang.
Garisan putus-putus kuning adalah laluan kami dari pantai ke lokasi memancing manakala garisan putus-putus biru adalah laluan kami pulang ke pantai. Saya kerugian handphone, kamera digital, cermin mata dan alatan memancing. Nazlee, handphone. Ar dan Etot, pendayung.
Selepas kami selamat tiba di pantai, Ar dan Etot pergi semula ke lokasi kejadian untuk mencari barang-barang yang boleh diselamatkan. Walaupun berasa sangat letih, fobia dan kecewa dengan gadget yang rosak, kami pulang ke Uncle Chang dengan penuh rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk hidup. Mungkin sekurang-kurangnya saya dan Nazlee perlu belajar berenang sebagai persediaan sekiranya kejadian begini berulang lagi.
Moral : -
1) Jangan lebih muatan. Perahu yang kami gunakan dipercayai hanya mampu menampung 2 orang penumpang sahaja.
2) Sentiasa gunakan jaket keselamatan semasa memancing di laut. Malang tidak berbau.
3) Jangan biarkan rasa excited menjadi punca kita memandang ringan aspek keselamatan.
4) Jangan mudah panik dan belajarlah berenang.
9 comments:
Dont tell your mother punya story....
Syukur Alhamdulillah xde kejadian lebih buruk berlaku.Sukur.
Alhamdulillah, selamat... Walaupun pandai berenang sebaiknya gunakan jaket keselamatan bila memancing di laut lepas, kalau sungai mungkin tidaklah berisiko sgt, apa pun kalau langsung xpandai berenang, jgn lupa jaket keselamatan... Posting ni adalah posting paling mendebarkan yang pernah saya baca di blog ini... Berpantang maut sebelum ajal. Pengalaman guru terbaik... :)
tengkiu di atas komen dan nasihat kawan2. peristiwa tu betul2 menjadi pengajaran dan pengalaman berharga buat saya...
aku pernah test guna sampan ni masa kat kota belud dulu bro. cuma kami berdua lah. kena biasakan diri dan pinggang untuk mahir guna bot ni. hati-hati bro.. kemahiran berenang itu perlu untuk kaki pancing.. mujur tiada apa-apa...
itu la tu, Nazlee bergerak skit jer dah terbalik. kena belajar berenang ni, mana tau next time anak sendiri terkapai-kapai time picnic... syukur alhamdulillah selamat
mau cepat pandai, berenang di air masin. tekanan air masin agak kurang sebab ada saliniti dia. beza dengan air tawar, tekanannya lebih kuat dan buat kita cepat letih...
jadi? bila nak atur kelas belajar berenang di pulau libaran ni?
Syukur semua selamat.. saya bakal ke pulau mabul awal januari 2014, perasaan nak memancing lebih dari nak bercuti.. nmpknya jaket keselamatan kene bawa juga
Post a Comment