Followers

Tuesday, September 18, 2012

Renangan Torpedo Si Ikan Susu

Tawaran saudara Arbakin untuk memancing ikan susu di sebuah kolam di Sungai Beruang, Sandakan terasa begitu sukar untuk ditolak. Tambahan lagi dengan cerita ikan susu atau ikan bolu (panggilan tempatan di Sandakan) yang gemar melompat untuk melepaskan diri apabila mata kail sudah tertancap dimulutnya.


Aleng dengan ikan susu pertamanya. Kecil tapi cukup mendebarkan buat pemancing yang pertama kali merasa tarikannya. Bergegar set pancing udang galah menahan asakan ikan susu juvenil ini.


Hasil carian di internet, Ikan susu atau ikan bolu dikenali juga dengan nama saintifiknya iaitu Chanos Chanos  mampu membesar sehingga 1.70m panjang (lebih kurang tinggi orang dewasa).


Cikgu Cjepp tekun menunggu ikan susu menjamah umpan dengan teknik fly fishing, sambil Aleng menaikkan ikan susu seterusnya. Satu demi satu ikan susu memenuhi jaring dan coleman. Kami bercadang untuk hantar ke Pasar Sim Sim untuk dibakar dan makan ramai-ramai di sebelah malam


Lee yang sampai agak lewat juga tidak melepaskan peluang merasai pengalaman memancing ikan susu. Ikan yang tidak bergigi ini mempunyai ekor 'V' yang agak besar memberikan kelebihan padanya untuk berenang laju bak topedo. Maka bukan semudah yang disangka untuk menaikkan ikan susu yang rata-rata beratnya sekitar 250 - 400 gram di kolam ini jika tidak bersedia dengan pecutan padunya.


Susah nak bergambar dengan ikan ni. Kuat betul melawan walaupun dah dipegang kuat.

Cikgu Cjepp pelopor fly fishing di Sandakan, berjaya menewaskan beberapa ekor ikan susu yang agak kuat melawan. Terpesona juga kami melihat beliau melayang umpan ke tengah kolam. Tali berkekuatan 8lb hingga 10lb dengan mata kail udang no 2 hingga 7 dan dipadankan dengan set ultra light sudah memadai untuk melayan ikan susu di kolam ini. Macam lawan dengan tembaring!


Ada pengusaha kolam ternakan Milkfish atau ikan susu memberi makan anak-anak ikan dengan susu tepung sejak hari pertama hingga berusia 3 bulan. Dari bulan keempat hingga tempoh matang iaitu 16 bulan, ikan-ikan ini diberi makan roti, kulit popia dan kuey tiaw. Di Sandakan, ikan susu atau bolu bakar antara ikan kelas A yang menjadi pilihan pengunjung Pasar Sim Sim selain kerapu dan ikan merah.



Saudara Lelek dengan Dani, anak sulung yang sporting melayan hobinya, siap tolong payungkan lagi tu.


Seronok melihat telatah Dani menahan asakkan ikan susu. Memang berpotensi jadi pemancing pro satu hari nanti.



Si cilik dengan ikan susu atau ikan bolu. Tahan panas betul budak ni. Tabik la.

Setiap kilogram ikan yang dipancing dikenakan bayaran RM5 sahaja. Manakala masuk dan mancing adalah percuma! Dah dapat ikan baru bayar. Walaubagaimanapun pengunjung dinasihatkan untuk membawa sendiri set pancing masing-masing kerana ianya tidak disediakan untuk disewa. Segala maklumat lanjut boleh hubungi saudara Arbakin di 019-8077317.

Dalam perjalanan pulang, kami sempat singgah sebentar di satu spot untuk memancing belut. Namun udang galah yang makan umpan. Itupun cuma 3 ekor kecik-kecik.




Ikan bolu dibelah dua, dibuang tulang tengah dan digoreng garing. Dimakan begitu saja. Baru la dapat rasa keenakkan ikan susu. Terlupa betul nak hantar pegi Pasar Sim Sim bila badan dah penat. Goreng pun sodap.

Friday, September 7, 2012

Melancong Sambil Memancing ke Pulau Lankayan dan Pulau Selingan

Pulau Lankayan dan Pulau Selingan memang tidak asing lagi bagi penduduk Sandakan khasnya kaki-kaki pancing kerana kecantikan pulau serta kepelbagaian spesis hidupan laut. Namun begitu kedua-dua pulau ini dilindungi di bawah Taman-Taman Laut Sabah dari sebarang aktiviti penangkapan ikan dan pencemaran.

Hal ini telah menarik minat bos tempat saya bertugas iaitu Encik Lai Kok Diing untuk melawat pulau-pulau ini    sambil diselit dengan aktiviti memancing untuk menghilangkan stress bekerja. Saya diamanahkan beliau untuk menguruskan bot serta kelengkapan lain untuk ke sana.


Cuma kami berlima yang dapat turut serta trip ini memandangkan ianya diadakan pada hari Isnin. Isnin 3 September sengaja dipilih untuk mengelakkan bertembung dengan trip pemancing yang biasanya telah menempah bot lebih awal pada sabtu dan ahad.


Bot Jack yang telah ditempah awal terpaksa ditukar pada bot Ah Kong kerana masalah teknikal. Mujur trip tidak dibatalkan dan kami berlepas dari jeti pejabat pos Sandakan sekitar pukul 8 pagi. Destinasi pertama, Pulau Lankayan.




Shafri yang bukan kaki pancing sedikit teruja apabila telah membeli beberapa peralatan memancing walaupun sekadar handline.



Bot terasa begitu luas dan selesa bila cuma 7 orang termasuk kapten bot dan pembantunya yang menyertai trip ini.


Perjalanan ke Pulau Lankayan mengambil masa lebih kurang 90 minit dari Sandakan.




Permandangan Pulau Lankayan dari udara. Sumber, Google.

Kami semua begitu teruja apabila menjejakkan kaki di jeti, kerana inilah kali pertama buat kami semua sampai ke Pulau Lankayan, sebuah pulau yang selama ini hanya disebut dan mampu dibayangkan sahaja dalam fikiran.



Kalau dah kerja di airport ni tak bergambar dengan apa sahaja yang berkaitan penerbangan memang tak sah. Tambahan pula di tempat yang tak pernah kami sampai.




Kejernihan air amat memukau sesiapa sahaja yang sampai ke pulau ini. Namun kami hanya dibenarkan oleh pihak pengurusan untuk berada di jeti utama sahaja kerana tidak membuat tempahan awal dengan pejabat mereka di Sandakan.








Setelah puas bergambar kenangan, kami meninggalkan Pulau Lankayan dengan satu pesanan terakhir dari pihak pengurusan supaya jangan memancing 20 batu nautika radius pulau itu kerana ianya kawasan larangan memancing.

Lantas kapten bot membawa kami ke satu kawasan skau karam di perairan Sugut. Ternyata memang banyak ikan kecil mendiami kawasan tersebut yang sesuai dipancing menggunakan teknik apolo. Saya mengambil peluang untuk membantu dua orang yang bukan kaki pancing, En Lai dan Shafri untuk mendapatkan lesen pertama mereka. Sekejap saja setengah tong coleman kami penuhkan dengan ikan kerapu, titir, kerisi, pisang-pisang, merah, cencaru dan selar kuning.



Herman bagaikan tidak percaya bila apolo yang beliau gunakan disambar tenggiri. Kami semua semakin bersemangat untuk memancing. Tambahan pula spot tersebut hanya berkedalaman 25 m sahaja. Untuk rekod, Herman pemancing senior yang memang biasa memancing laut di kedalaman 150 m hingga 250 m semasa beliau bertugas di Kota Kinabalu.


Bob, baru ditugaskan di Sandakan. Kali pertama memancing di Sabah. Menurut beliau sudah 2 tahun, beliau 'cuti' memancing atas alasan sibuk dengan tugas. Untuk rekod, Bob pernah menaikkan 7 ekor tenggiri dengan teknik casting dalam masa sejam di Pulau Sembilan, Perak.


Kami pindah di beberapa spot yang ikannya lebih kurang sama spesis dan saiz. Saya mencuba tenknik berhanyut di belakang bot. Umpan ikan lumahan mati saya cangkuk kemas pada mata kail single dengan perambut steel 40lb sepanjang setengah depa. Dah lama perambut tu saya buat dan simpan namun tak pernah digunakan.

Sedang saya leka menyiapkan satu lagi joran saya untuk teknik apolo, tiba-tiba reel Daiwa Liberty usang saya berdesing memuntahkan tali sulam Berkly 50lb dengan laju. Pada awalnya saya sendiri tidak yakin mampu menaikkan mangsa kerana dirasakan begitu kuat sekali lariannya. Tambahan pula, cincin joran ada yang patah, tali sulam yang reput, berbulu-bulu dan sengal-sengal tangan kanan masih terasa akibat serangan ikan jemuduk dalam trip 2 hari sebelum itu.


Kira-kira 10 minit bertarung dengan sokongan dan semangat kawan-kawan, seekor tenggiri dengn berat 5.33 akhirnya berjaya dinaikkan. Satu pengalaman dan bonus yang cukup berharga buat saya kerana inilah kali pertama saya mancing dapat tenggiri.


Tenggiri bersama kumpulan sorak. Terima kasih kawan-kawan.


Di satu lagi spot bersebelahan Pulau Lihiman, Herman dan Bob berjaya menaikkan ikan merah. Umpan isi titir segar yang dipancing di spot sebelumnya membuahkan hasil. Saya cuba untuk mendapatkan bonus kedua namun gagal. 



Cuma 2 ekor ikan merah berjaya dipancing.


Setelah puas memancing, bos kami Encik Lai mengambil keputusan untuk berehat. Shafri masih setia dengan teknik apolo. Seronok juga dia dapat ikan yang banyak.



Bergambar dengan kerapu pancingan kapten bot berlatar belakangkan Pulau Lihiman.

Sebelum pulang ke Sandakan, kami singgah ke Pulau Selingan, bagi memenuhi hajat En Lai. Sebaik menjejakkan kaki di pulau tersebut kami dikenakan bayaran RM20 seorang oleh pihak pengurusan Taman-Taman Laut Sabah. Kami juga diingatkan untuk menjaga kebersihan semasa bersiar-siar dan mandi.




Menurut pihak pengurusan, antara bulan Jun hingga Ogos, setiap malam berpuluh-puluh ekor penyu akan naik mendarat di pantai untuk bertelur. Patut la masih banyak jaring-jaring hijau di mana telur-telur penyu ditempatkan.


Pulau ini juga lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung yang datang.




Lubang -lubang yang telah dikorek untuk mengeluarkan telur penyu.


Pantai Pulau Selingan yang bersih.



Perjalanan kami pulang ke Sandakan melewati berpuluh puluh bagang yang baru dibina beberapa bulan lepas.




Menjulang trofi kejuaraan sebaik tiba di jeti pejabat pos.


Hasil dibahagi sama rata.


Pada keesokkan malamnya kami makan di sebuah restoran berlaukkan 2 ekor ikan merah masak stim dan malam berikutnya kami mengadakan BBQ hari raya. Antara lauknya ikan tenggiri, cencaru, kerisi dan pisang-pisang bakar. Sebahagian lagi tenggiri dimasak asam pedas. Memang seronok dapat makan ramai-ramai ikan yang dipancing bersama.



Apa pun jutaan terima kasih pada En Lai, bos tempat saya bertugas kerana telah sponsor sepenuhnya tambang bot pada hari itu. Bukan murah tu, RM1600!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...