Followers

Thursday, December 8, 2011

SELUNSUNG MUARA GUM-GUM (Lesen selunsung tahun ini)

Berbekalkan pengalaman yang cetek tentang pancingan siakap, kegagalan demi kegagalan terus menghantui walaupun bermacam cara dicuba. Mengilat dengan pelbagai jenis gewang dan pancing dasar dengan berbagai tekni yang saya pelajari dari artikel-artikel majalah masih tidak membantu.


Sehinggalah saya bertemu dengan seorang nelayan sifu yang berpengalaman. Beberapa panduan berguna darinya cuba saya praktikkan. Ternyata ia amat berbeza dengan apa yang saya ketahui selama ini.
Pergerakan arus yang perlahan amat diperlukan.Waktu untuk menduganya tidak terhad pada waktu lewat petang atau awal pagi. Begitu juga perambut dan mata kail yang disyorkan amat tidak meyakinkanbagi pemancing yang baru ingin mencuba


Testing


Nak dapatkan umpan terbaik, kenalah menjala sendiri sebab ia tiada dijual di kampung saya.


Percubaan pertama selepas mendapat panduan nelayan sifu menyaksikan kejayaan awal yang menaikkan semangat. Kami menggunakan bersaiz 22 kaki panjang dan 5 kaki lebar dipacu oleh enjin sangkut 15 kuasa kuda. Kami singgah menjala udang hidup kerana ia adalah satu kemestian dalam trip memburu selunsung Gum-gum. Itu pesanan nelayan sifu.


Nelayan tempatan menggelarkannya "mata kail tuang". Ia juga sesuai untuk memancing siakap



Perambut tangsi disambung terus ke tali utama dan batu ladung yagn kecil bergerak bebas disepanjang perambut, cara ini paling saya suka.


Sebelum ini belanak dan beliak mata hidup pernah dipertaruhkan, tapi ternyata udang hidup bersaiz ibu jari juga yang terbaik. Selepas hampir 2 jam menjala, kami beroleh kira-kira 30 ekor udang yang sesuai untuk siakap. Kebetulan air pasang bergerak perlahan, amat sesuai untuk berlabuh di lubuk siakap.


Bersama harapan yang tinggi, kami berdua melabuhkan umpan. Hampir sejam juga menunggu, sehinggalah terasa pagutan pertama yang halus namun ianya hanya 2 kali. Lantas teringat pesanan nelayan sifu, "sapaan siakap akan terasa seperti umpan dijentik perlahan 2 atau 3 kali kemudian ia akan disusuli dengan heretan lembut seperti ditarik ketam. Saat itu lah joran sesuai disentap".


Lesen siakap pertama saya di Lubuk Selunsung Gum-gum.


Saya menanti pergerakan tali, seketika kemudian ia bergerak perlahan dan saya pantas menyentap. Joran lantas melengkung dan dihiasi jeritan kekili. Selepas 3 minit tarik tali, tumpaslah siakap pertama di lubuk yang terkenal dengan sang putih ini. Dalam trip percubaan pertama ini, saya berjaya menjerat 2 ekor siakap, manakala rakan saya hanya dihiburkan oleh talang juvenil.


Namun itu sebelum tebing lubuk dirobek jentera untuk dijadikan ladang sawit. Tebing sungai yang dulunya teguh bersendi hutan kecil kini menjadi botak dan bertarah. Anak sungai yang dulu tempat kami mengadu disaat mencari udang hidup kita ditimbus tanah dan terbentuk ban tinggi menghalang air masin dari memasuki kawasan ladang.


tebing sungai hanya tinggal kurang dari 10 meter dari air dan ditumbuhi pokok nipah yang kecil.. Pembukaan kawasan paya bakau untuk tujuan perladangan amat memberi kesan pada populasi siakap yang menghuni Muara Gum-gum. Kesan kerja-kerja pembukaan hutan begitu ketara hingga jarang kedengaran sebarang khabar dari nelayan atau pemancing yang mendaratkan siakap.


Kini tugas jentera sudah lama berlalu. Hanya tinggal benih sawit yang sudah ditanam dan dijaga menghiasi tebing sungai dan dilindungi sedikit barisan pokok nipah. Saya sebagai penggemar cabaran siakap begitu rindu untuk bertarung dengannya.


Cuba semula

Seharian diluangkan untuk menguji semula lubuk. Arus cukup cantik, air surut bermula seawal pukul 5 pagi dan berakhir pada tengahari dan akan bergerak pasang perlahan-lahan sekitar pukul 2 petang. Sebelah pagi diluangkan untuk menjala udang. Amat sukar untuk mendapat umpanterbaik dalam keadaan arus sebegitu. Saya bersama Jamil hanya mampu beroleh undang kurang dari 30 ekor dan bersaiz agak kecil.



Saiz mata dan jenis mata kail serta batu ladung yagn disarankan nelayan sifu untuk menduga siakap Gum-gum.


Saya tetap mengaplikasikan cara yang pernah diajarkan nelayan sifu kepada saya. Perambut sepanjang 2 depa berkekuatan 30 paun bersambung dengan ikatan albright dengan tali utama jenis braided 20 paun, mata kail VMC jenis biasa dan batu ladung hidup saiz kecil yang bebas bergerak di sepanjang perambut dan umpan udang hidup sebesar ibu jari.


Joran pula hanya berkekuatan 17 paun dan dipadankan dengan kekili Shimano aernoss 3000. Set sebegini sudah memadai untuk mencabar sang siakap. Bagi yang berani, Boleh mencuba perambut berkekuatan 20 paun kerana lebih halus perambut lebih tinggi kebarangkalian siakap menyentuh umpan. Air yang jernih pula menjanjikan potensi yang lebih tinggi.


Satu-satunya hasil selepas tebing lubuk berubah.



Sentiasa la bawa penimbang untuk mengetahui berapa besar tangkapan anda, jadi tidak perlu main agak-agak sahaja.


Hanya 15 minit menanti, sudah terasa getuan siakap. Lembut dan perlahan. Joran disentap bila saya merasakan sesuai. Selepas 2 kali aksi akrobatik, siakap menyerah di dalam sauk. Kepuasan benar-benar terasa walaupun ia hanya bersaiz 2 kilo lebih.


Selepas siakap pertama ditumpaskan, kami berdua terus menanti siakap kedua. Namun hanya ikan kecil yang mengusik umpan hinggalah kami pulang. Ternyata benarlah kata nelayan sifu, semenjak tebing di lubuk diteroka jentera pengorek, siakap kini semakin culas. Jarang benar saiz yang gadang menguji pancing.



Rakan saya hanya memperolehi seekor kerapu.


Sungguh pun lubuk siakap yang saya gemari bertambah suram, namun harapan masih disimpan. Semoga akan berulang semula kemegahan lubuk seperti namanya Lubuk Selunsung Gum-gum.


(Majalah pancing bil 170 Disember 2011)

4 comments:

mappeddo said...

hehe..siakap muara gum gum mimang pencuri senyap...tp pecutan bukan alang2 dan pandai terbang..terima kasih bro AK kerana sempat juga memberiku peluang merasai pecutan sang siakap.

mayong said...

harap2 lepas ni saya pun dpt lesen selungsung

aIdiD AzIZy said...

terima kasih atas maklumat yg diberi untuk merasai pecutan siakap

kaki pancing said...

UDANG HIDUP
0142123155
LUKUT(PORT DICKSON)

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...