Followers

Thursday, May 12, 2011

KAEDAH PEMBIKINAN PANCING TUANG

Artikel ini sekadar mengisi ruang dan menyimpan sedikit maklumat dan ilmu untuk dijadikan rujukan dimasa akan datang. Bagi yang pernah melakukannya, pasti akan mudah memahami proses ini. Manakala bagi yang pernah menggunakan matakail sebegini pasti akan tahu di mana tempatnya dan bilakah waktunya menggunakan salah satu senjata ampuh ini untuk menewaskan mangsa ganas dan sensitif terutama di perairan muara.


Matakail ini lebih dikenali sebagai hongkong hook di kalangan kaki pancing seluruh malaysia manakala nama tempatan mata kail jenis ini adalah 'pancing tuang'. Tidak semua tempat di Sandakan aku temui mempraktikan pancing tuang yang di'patern'kan sendiri seperti kebanyakkan nelayan kecil di Sg Beruang. Sering kali aku akan terjumpa pemancing atau nelayan dari kg lain menggunakan pancing tuang yang sedia ada dijual di kedai. Menurut nelayan yang gemar menggunakan pancing tuang ini, perbezaan pancing tuang buatan sendiri dan pancing tuang dari kedai adalah kelasakannya ketika bertarung dengan mangsa perkasa dan berat serta saiz yang boleh ditentukan sendiri. Menurut cerita nelayan, teras pancing tuang yang dibeli di kedai hanya bergantung dengan kemampatan timah yang melekat di batang mata kail. Apabila diberi tekanan kuat, timah dan mata kail akan berpisah sedangkan mata kail tersangkut di bibir ikan manakala tali pancing diikat di timah. Apabila dua elemen penting ini terpisah maka pertarungan antara pemancing dan mangsa akan terhenti. Berbeza dengan pancing tuang yang dipasangkan timah melalui sedikit proses yang agak sukar, tali pancing akan terikat teguh di 'telinga' mata kail yang tersembunyi didalam timah. Itu pendapat nelayan yang sering menggunakan mata kail jenis ini. Sejauh mana kesahihannya, aku belum dapat mempastikan sebab aku sendiri belum pernah menggunakan pancing tuang yang boleh di dapati di kedai.


Gambar berikut menunjukkan sedikit proses menuang mata kail. Antara peralatan yang patut disediakan adalah seperti yang ditunjukkan di dalam gambar dibawah.


Ini adalah asas dalam peralatan menuang mata kail. Mungkin bagi mereka yang serius dalam memproses mata kail ni akan menyediakan peralatan yang lebih selesa.

Acuan dan mata kail yang bakal dituangkan timah cair. Acuan selalunya diperbuat dari kayu belian yang dikorek lubang berbentuk kon dan dibelah dua. Manakala dawai lurus tersebut berfungsi sebagai laluan untuk lubang mengikat perambut pancing.


Letakkan matakail dalam posisi yang betul pada acuan. Pastikan lubang untuk teras mata kail tidak terlalu besar untuk mengelakkan timah cair mengalir turun melalui lubang.

Kepitkan kedua-dua belah acuan dan masukkan dawai keras tadi ke lubang yang disediakan. Pastikan dawai tersebut melalui lubang telinga matakail. Asas kekuatan ikatan penghubung perambut dan mata kail adalah dibentuk oleh dawai tersebut.


Dengan berhati-hati, cairkan timah diatas api yang sederhana. Penggunaan dapur gas adalah lebih baik dan cepat. Di sini, pemprosesan dilakukan oleh nelayan yang perpengalaman dan hanya penggunakan peralatan kampung sahaja.


Setelah yakin bahawa timah sudah cukup cair, angkat tin menggunakan alat tahan panas dan meyakinkan lalu tuangkan timah cair ke dalam acuan yang telah disediakan. Pastikan proses ini berjalan dengan lancar dan pantas kerana timah akan membeku jika mengambil masa agak lama. Juga pastikan tin tidak terjatuh atau terlebih tuang. Percikan timah yang terkena di kulit akan menyebabkan kecederaan. Berhati-hati lah mengendalikan timah cair.

Timah yang cukup cair dan mengalir masuk ke segenap ceruk acuan akan memberi hasil yang baik. Kepadatan timah diperlukan untuk memininakan saiz timah. Sejurus selepas timah membeku, cabut dawai keras yang dicucuk melintang di atas mata kail tadi. Ini akan meninggalkan kesan lubang untuk mengikat tali atau perambut.






Sebelum timah membeku sepenuhnya, potong bahagian lebihan timah yang tidak dikehendaki. proses ini memerlukan kita memegang timah keras yang masih panas. Berhati-hati melakukan proses pembentukan ini. Setelah puas hati dengan kualiti dan bentuknya, mata kail yang lain akan dituangkan timah seperti proses awal tadi.


Hasil tuangan yang belum dibentuk dengan baik. Bagi mereka yang enggan menyentuh timah panas, boleh la disejukkan sebelum dibentuk namun timah yang sudah sejuk agak sukar dipotong. Proses ini memerlukan alat untuk menggosok.


Gambar di atas adalah contoh mangsa yang dijerat oleh pancing tuang. Antara ikan yang sering terjerat dengan pancing tuang ini adalah MJ, tanda, gerepoh, siakap, tembaring, senangin dan banyak lagi. Kebanyakan ikan muara mudah dijerat dengan mata kail ini terutama ikan yang suka menghuni reba kayu. Umpan yang sesuai untuk pancing tuang ini pula hanyalah udang hidup dan sotong hidup.


Andai ada masa dan bahan bergambar, aku akan jelaskan lebih lanjut cara penggunaan, tempat dan masa yang sesuai serta teknik ikatan dan cara persembahan pancing tuang ini. Nantikan maklumat seterusnya.... TERIMA KASIH..



0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...