Followers

Sunday, June 26, 2011

Mini Tournament @ Libaran

Setelah hampir 2 bulan merancang dan menyusun startegi, akhirnya 25 Jun terlaksanalah trip memancing ke Pulau Libaran, Sandakan. Pada asalnya sebahagaian besar ahli trip adalah dari geng Joran Sabahan dalam Facebook. Namun atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, cuma 6 orang sahaja yang dapat turut serta selain 4 lagi terpaksa diimport dari luar.

Pelayaran kami ke Pulau Libaran bermula sekitar 07.15 pagi dari jeti Batu Putih dengan menggunakan kapal Baso. Perkara yang dibimbangkan iaitu ketiadaan umpan udang hidup memang benar-benar berlaku, apabila pukat yang diturunkan cuma berjaya menaikkan udang tak sampai 5 ekor. Nasib baik ada beli udang pasar buat 'back up'.

Anak alu alu, ikan sebelah dan udang lipan menjadi penghibur kami sepanjang perjalanan ke Pulau Libaran. Aquaria atas kapal.

Andi Max dengan gaya seorang pemancing berjenama Warga Sandakan.

Separuh masa pertama menyaksikan beberapa pemancing menaikkan agohod, kerapu, ketambak dan daun baru. Sementara beberapa orang lagi masih bertungkus lumus mendapatkan lesen pada hari tersebut.

Tekong kapal, Baso mencadangkan supaya kami berehat untuk makan tengah hari dulu sebelum sambung sesi sebelah petang. Nasi putih lauk ayam goreng dan maggi kari. Tengah lapar apa pun sedap. Dah lama tak makan ramai-ramai atas kapal. All in 1 package.

Sebelah petang keadaan laut agak bergelora dengan ombak dan angin. Rashid yang memancing di bahagian belakang kapal lebih berjaya dengan ikan agohod, kerapu, daun baru dan pari. Boleh tahan dia ni. Perambut panjang sedepa yang dipertaruhkan memang tidak mengecewakan beliau. Pemancing lain cuma dapat ikan tak sampai setengah kilo setiap ekor.

Kami percaya ketiadaan umpan berkualiti menjadi faktor utama trip kali ini kurang menjadi. Udang di pasar pun payah dapat, mahal pulak tu. Walaupun dibantu fish finder kapal, memancing di kedalaman 30m dan berbatu, tidak banyak ikan yang sudi dengan umpan yang kami gunakan.

Rashid dan Kiflee. Kali pertama mancing dengan kapal macam ni. Belum pun sampai Libaran dah suruh atur trip pegi Kretam, lepas disajikan cerita tenggiri dari Aleng.

Model Warga Sandakan bergambar lagi dengan ikan beliau. Tak banyak gambar pemancing dengan ikan sebab masing-masing tak terasa teruja nak bergambar.


Rasul, berbaju oren yang menjadi chef dan awak awak duduk bersembang bersama Andi dan Aleng

Lelek dan Baso di belakang. Baso, tekong muda yang berpotensi tinggi untuk lebih maju.

Di awal perjalanan, kami semua dimaklumkan bahawa akan diadakan mini tournament anjuran blog MSP. Cuma kategori ikan terberat saja yang dipertandingkan. Semua yang turut serta dalam trip ini secara automatik layak untuk bertanding. Dalam perjalanan pulang upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Bro Arbakin kepada semua pemenang.

Rashid yang menaikkan pari seberat 1.48kg dinobatkan sebagai juara Mini Tournament di Pulau Libaran. Beliau membawa pulang seketul gewang Abu Tomentor.

Bro Lelek pula berjaya mendapat tempat kedua selepas menaikkan seekor kerapu 280g. Hmmm... jauh betul beza dengan tempat pertama. Gewang Matrix 90 menjadi habuan untuk beliau.
Ustaz Rosemady pula merangkul tempat ketiga dengan hadiah Spoon Seahawk, Altima TJ. Sebelum itu beliau menaikkan kerapu seberat 260g. Bro Andi, Kiflee dan Rosdi pula sekadar berpuas hati dengan hadiah saguhati.



Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam trip tak seberapa ini. Mudah-mudahan berjumpa lagi di lain-lain trip akan datang.

Bergambar dulu ramai-ramai. Duduk dari kiri : Rashid, Lelek, Mayong, Rosemady, Arbakin, Andi. Berdiri dari kiri : Rosdi, Aleng dan Kiflee. Tiada dalam gambar : Azlie. Sampai jeti dah pun pukul 7 malam setelah 3 jam menempuh ombak gelora dan melawan arus deras. Trip yang enjoy dengan gelak tawa dan gurau senda.

Tuesday, June 14, 2011

KERAPU LUBUK TAJAM

Selepas peristiwa bot pecah, aku kena cari masa sehari untuk membaikpulih bot tersebut. Maka bot pun selesai juga dibaiki dengan bantuan anak buah aku. Nak harap aku sendiri mana la aku pandai. Hehehe..
Sabtu lepas aku sediakan trip untuk bawa akan buah aku yang tolong aku baiki bot. Aku dah janji dengan dia akan bawa dia ke lubuk yang jarang orang pancing sebab lubuk tu susah nak kesan kalau harap tengok tepian ja. Hanya dengan GPS dan digandingkan dengan SONAR baru la lubuk dapat di kesan. Kawasan dia agak besar tapi tempat paling berpotensi sangat terhad. Cuba la rendam umpan udang hidup di sebelah kiri bot andai lubuk tu di sebelah kanan bot. Anda akan dapat umpan balik. Kena rendam ditempat yang betul baru ada ikan.
Trip ini kami sasarkan ikan kerapu dan tabung. Berumpankan udang kapur yang hidup. Bertemankan enjin 15hp dan berpegang pada sauh yang berikat rantai (dah 3 sauh aku terkorban disini). Juga dalam trip ini kami jarang bergambar. Hanya seekor seorang sekadar untuk kenangan.





Gambar aku bersama kerapu terbesar yang ku daratkan.


Anak buah aku pun ingin mengabadikan gambar kerapu dia yang lagi besar dari aku.



1.89 kilo tu..




Ni pulak antara koleksi ikan tabung yang menyelit dalam kumpulan kerapu yang menyerang kami.








Antara hasil yang kami perolehi dalam trip ini. Kami dihiburkan oleh ikan kerapu tanpa rehat sampai lah arus surut laju. Pantang hulur umpan, kerapulah yang makan. Kalau dah kedengaran bunyi drag tu diheret, minta maaf, jangan harap lagi sang ikan dapat dinaikkan. Pasti telah bersembunyi dalam lubang. Banyak kes joran viper aku ditewaskan tarikan padu hingga aku terpaksa rehatkan set pancing kesayangan aku dan tugasnya diambil alih oleh joran relix yang lebih perkasa dan mampu mengheret sang kerapu tanpa membenarkannya mengheret drag. Drag memang kunci habis. Baru lah ada hasil. Pun begitu, banyak juga kes tak 'tak dapat naik' bila aku terlewat menyentap dan mendesak ikan keluar dari dasar lubuk. Mungkin saiznya melebih 2 kilo sebab tangkapan terberat kami adalah kerapu 2.1 kilo. Maaf, tak sempat timbang dah.. hehehe.. Hasil semua kerapu terkumpul untuk dua pemancing adalah 15 kilo.. Satu trip yang berjaya bagi aku pada tahun ini. Aku akan datang lagi ke sana.. Ngeh ngeh ngeh........

Tuesday, May 31, 2011

ANTARA CERITA HAPPY DAN TRAGEDI

BILA SANG TAIL DANCER DICULIK MANGSA



2 hari sebelum hujung minggu, air sudah mula cantik untuk merendam umpan. Begitu juga dengan casting. Kali ini tiada cerita tentang kanai kedengaran. Hanya GT dan kerapu bagak yang sering dilihat jadi mangsa perawai tegar di kg. Aku pula sengaja ambil cuti untuk memancing diwaktu yang sangat sesuai bagi aku. Kalau nak harap cuti pesta keamatan mungkin dah agak terlewat. Kali ini aku turun sebagai pencari ikan. Langsung tidak terfikir untuk khabarkan perjalanan trip ini di blog MSP ini. Sebab aku dan anak buah aku turun adalah bertujuan untuk mencari laba. Sekadar membantu anak buah aku. Kenderaan kami tetap seperti dulu. Bot biru dan dipacu oleh dua buah enjin berkuasa 15 hp.

Bot yang sudah agak lama tapi masih berjasa pada aku.


Dalam trip ini aku memang tidak teringin menangkap gambar bersama ikan. Boleh dikatakan hasil memang agak meriah dan demi menjimatkan masa, kami langsung tidak bergambar bersama hasil pancingan kami berdua. Di sini, aku cuma boleh menceritakan sedikit perjalanan trip kami melalui teks. Gambar yang ada hanya lah sekadar gambar pemandangan.






Dari beberapa orang nelayan yang aku kenali, aku mendapat maklumat bahawa ada dua lubuk yang dipercayai dihuni sang siakap mega kerana melalui cerita mereka, ada seorang nelayan dari Kg Dandulit yang mahir dengan tempat tersebut sering pulang dengan siakap lebih sepuluh kilo hasil pancingan. Apa pun, itu hanya cerita nelayan. Aku sendiri tidak pasti lokasi tepat dia. Namun bila teringat artikel siakap pesisir Pulau Pinang dari sebuah majalah pancing tempatan, Aku percaya cerita sang nelayan memang bukan rekaan. Malangnya aku tiada peluang untuk menguji kebenaran cerita tersebut.


Maaf, tersasul pula melihat gambar pemandangan. Lubuk pertama kami lawati adalah Pulau Baru dan hanya menghidangkan beberapa ekor ibu gelama yang bersaiz sederhana. Selepas kumpulan ibu gelama hilang, kami beralih ke Takat Scow dan dihidangkan dengan pecutan sang senangin serta tabung yang seperti berpesta. Umpan udang memang tak sempat cecah dasar sudah dilarikan. Pun begitu, suasana meriah itu hanya bertahan lebih kurang 20 minit. Takat tersebut sunyi tanpa pagutan ikan. Pelik benar aku rasa. Selepas Takat Scow sunyi, kami beralih Keriting.


Tiba di Takat Keriting, keputusan bertambah teruk. Jangankan ikan tabung atau kerapu, iakn gelama atau utik sekali pun langsung tak sentuh umpan. Apa yang berbeza dengan suasana lubuk lain adalah, Keriting dihiasi oleh deburan ikan yang sesekali mengejutkan kami. Aku percaya, pasukan ikan yang meronda itu lah membuatkan sang ikan dasaran bersembunyi. Teringin pulak aku mencuba balingan gewang. Mana tau mencakup. Lantas ku ikat juga sang TDD 7. Balingan di buat secara blindcast. Maklumlah, mana ada ilmu bab casting ni. Masuk balingan ke4, tali bagai disentak kuat. Joran disentap balas dan shimano aernoss dikerah dengan keras. Drag diuji beberapa saat sebelum pecutan sang misteri hilang. Aku bagai tergamam seketika. Sang misteri berjaya melepaskan diri.


Rupanya mata tiga Gewang TDD aku yang gagal dalam ujian getir sebentar tadi. Terkangkang sedemikian rupa. Tak la teruk sangat tapi apasal boleh rabut? Aku sendiri tak dapat menjawapnya. Mata kail hanya mampu dibetulkan semula. Gagal pun gagal lah. Nak buat macamana kalau memang tiada pengganti. Aku tidak berputus asa. Pecutan misteri tersebut sangat mengujakan. Dalam terkaan hanyalah GT jadi sasaran. Lariannya berbeza dengan kanai, siakap atau MJ. Apatah lagi di takat Keriting langsung tiada spesies muara tersebut? Memang GT juga jadi suspect utama kami.

Acara casting diteruskan. Anak buah aku hanya memerhati saja. Dia tidak berani mempertaruhkan set yang dia ada. Risau hanya tewas dipertarungan. Sesi kedua selepas tertewas, berlangsung lebih 10 balingan. Masuk balingan ke 13 kalau tak salah ingat, Situasi tadi berulang lagi. Tali rasa bagai dihenjut mengejut. Kemudian disusuli satu larian pantas dan panjang. Aku cuma mampu bertahan. Kekili dan joran benar-benar teruji. Tiba-tiba pecutan terhenti. Aku cuba pam joran. Terasa bagai tiada beban langsung. Putus kah? Kayuhan karauan kekili semakin pantas.

"Lepas lagi kah?" anak buah aku bertanya.

"Tah.. cam ringan.. Eh.. eh ada!!" Aku menjawab sambil menggandakan kepantasan karauan. Tali lantas melintasi bawah bot dan sekali lagi joran melengkung hebat berhias bunyi kekili. Dengan berhati-hati, aku melepaskan tali yang berada di bawah bot melalui haluan bot. Kali ini larian sang misteri semakin jauh. Tali sulam 30lb dalam spool semakin kurang. Mujur ia berhenti dan aku berpeluang medapatkan semula tali yang banyak dilarikan. Mangsa hanya memberatkan diri. mengikut tanpa rela helaan sang joran. Sehingga hampir dengan birai bot, mangsa cuba lagi memecut tapi anak buah aku lagi pantas menyauk agar tiada peluang untuk ikan tersebut melepaskan diri. Dengan tertewasnya ikan tersebut, hati ku pun terbuka untuk membuat artikel ini kerana ini adalah antara rekod peribadi aku selama aku berkecimpung dalam hobi yang hanyir ini.


TENGGIRI.. Pelari pecut yang mungkin biasa bagi sesetengah pemancing tapi bagi aku, ini cukup menguji peralatan ringan yang aku ada. Malah sungguh tak disangka Takat Keriting turut jadi lapangan rondaannya.


Berskala 3.35 kilogram. Ini antara kenangan yang sukar aku lupakan.

Selepas pertarungan kritikal berakhir dengan kemenangan, Takat keriting dihujani oleh jatuhan gewang bertalu-talu oleh 2 pemancing namun tiada lagi aksi lantas kami beralih ke Takat Tadika.

Di Takat Tadika, aku dihiburkan oleh 2 sambaran rabut pada popper halco roosta. Belum ada rezeki nak dapat lesen popper. Kami bergerak pulang sekitar jam 4 setengah petang bersama cerita yang tak sabar dikongsikan bersama.




Gambar diatas adalah hasil keseluruhan dalam trip mencari laba.




BILA TRAGEDI MENGUJI

Gambar seterusnya hanyalah sekadar menceritakan bahawa selepas trip tenggiri pada khamis lepas, aku turun lagi hari ahad bersama team dari kinabatangan. Kali ni aku tertinggal kamera di rumah. Nak harap HP pun tak dapat juga. Pun begitu aku cerita yang aku nak sampaikan bukanlah hasil memancing tapi hanya sedikit insiden bot pecah ketika dalam perjalanan pulang. Penerbangan cemas terpaksa dilakukan dan pendaratan cemas juga dibuat di jeti. Mujur para pemancing berkerjasama.




Gambar dari sebelah luar dinding bot. Gambar pertama pula rekahan dari atas sampai ke lunas.



Gambar dari sebelah dalam dinding Bot. Air masuk dengan deras andai tiada langkah-langkah kecemasan. Pemancing terpaksa mengimbangi bot dan kelajuan diseragamkan agar air tidak menujah masuk. Trip terpaksa dipendekkan. Keselamatan lebih utama. Selepas insiden ini, aku mungkin hanya dapat turun memancing dengan bot kecil yang cukup untuk 2 orang. Pembaikan bot mungkin memakan masa yang agak lama.




BILA BERMAIN DI KAWASAN MUARA



Isnin, masih lagi cuti. Air pasang sudah bergerak laju dipagi hari. Waktu begini hanya sesuai untuk memancing waktu petang. Mungkin boleh casting atau menghanyut udang hidup. Aku merasa boring tanpa sebarang aktiviti. hendak repair bot, barang belum beli. Lantas ku cari anak buah aku dan sorang lagi anak sepupu aku. mereka bersedia berpanas bersama aku. Kami guna bot kecil milik anak buah aku. Agenda pertama adalah casting di pulau sebelum air benar-benar sesuai untuk menjala udang. Aku hanya menerima satu sambaran tapi rabut. Entah ikan apa.



Ni anak sepupu aku. Merasa juga dia MJ hasil casting. Aku pinjamkan dia gewang dan set pancing sementara aku duduk berehat. Dah rezeki dia lah. Selesai casting, kami menjala udang. Susah juga dapat udang hidup sebab banyak sangat saingan. Tak silap mungkin ada 9 buah bot hanya dari Sg Beruang mencari udang hidup untuk umpan mancing. Kami berjaya juga dapatkan kira-kira 20 ekor udang hidup. Terus bergerak ke lubuk untuk menghanyut udang.



Mangsa hanyutan pertama. MJ seberat 1.34 Kg.

Mangsa kedua hanyutan udang. Gerepoh 2.16 kg. Sedap juga layan ikan ni. Tapi aku tengok je lah. Ni mangsa anak buah aku. Selepas 2 Mangsa hanyutan udang ditewaskan, umpan kami habis digetu buntal. Kami bergerak pulang selepas umpan habis. Syukur... Ada juga MJ dijadikan lauk makan malam. Andai ada trip akan datang, InsyaAllah akan dinukilkan disini. Tapi trip bergantung dengan bot biru. Entah bila la siapnya.. Jumpa lagi di trip akan datang...

Wednesday, May 18, 2011

MELABUH SAUH DI PULAU BARU...

Cuti lagi hari selasa, sempena hari wesak. Dalam kepala sudah merancang beberapa agenda penting dalam aktiviti memancing. Bertujuan untuk merawat hati yang kumpau pada sabtu lepas. Trip sengaja didiamkan kerana risau trip terbengkalai sebab semuanya belum pasti. Umpan belum ada, bot tak tau 'available'nya, air pasang pun dah besar. Oleh kerana banyak ketidakpastian maka plan kena banyak. Agar perjalanan ke kg tidak sia-sia. Satu-satunya rakan yang dihubungi hanyalah Rosli. Kebetulan dia pun dah lama tak turun dan 2 trip terakhir beliau bersama aku mengecewakan. Rosli bersetuju dengan ajakan aku. Maka dia juga kena patuhi sebarang perubahan dalam trip ini. Antara plan yang dirangka untuk hadapi sebarang kemungkinan adalah;



  1. Tiada bot: Terpaksa memancing hanya di jeti berumpan udang yang dibeli di pasar.


  2. Tiada umpan hidup: Guna umpan pasar yang dibeli dan potensi memang rendah.


  3. Arus lewat bergerak: Test casting di pulau yang berhampiran.


  4. Arus awal bergerak: Pasang pukat untuk cari udang hidup dan memancing diwaktu arus pasang mula berhenti. Dalam kes ini, masa memancing cuma sekitar 2 jam sahaja.

Disamping itu, Sekiranya ada bot, maka masa memancing akan menjadi panjang sebab kena tunggu arus surut habis dan menjala udang untuk mengusik lubuk siakap. Casting juga boleh dipraktikkan sewaktu arus surut beransur lemah.


Pendek kata, Rosli bersetuju. Apa yang penting dapat memancing. Aku bergerak dari batu 7 bersama Rosli seawal jam 5 setengah pagi. Tiba di jeti, ternyata umpan hidup tiada tersedia seperti yang diharapkan. Anak buah aku terlupa menjala udang. Mujur lah bot tidak diguna oleh sesiapa. Kami pun bergegas menyiapkan segala keperluan. kira-kira jam 8 setengah baru selesai setting bot. Arus sudah laju. Plan ke empat dilaksanakan. Mencari udang hidpu dengan pukat. Dijangka, arus akan berhenti sekitar jam 10.30 pagi. Waktu itu lah masa yang ada untuk kami melabuh pancing. Kami bernasib baik, udang hidup mudah didapati waktu arus pasang bergerak laju.


Tanpa lengah, kami bergerak ke lokasi. Pulau Baru jadi taruhan. Berbekalkan masa yang pendek, kami tiada masa untuk berpindah lubuk. Tiba di lubuk Pulau Baru, Umpan udang dicangkuk kemas dan dilabuhkan. Dalam trip ini juga aku mengambil kesempatan menguji mata kail tuang. Gambar di atas adalah contoh cara cangkukan udang hidup pada matakail tuang.

Ini ikan pertama didaratkan oleh matakail tuang. Ikan pertama dalam trip ni ada lah seekor kerapu oleh Rosli tapi tidak difotokan. Selanjutnya hanyalah gambar pemancing bersama tangkapan. Gambar pemandangan langsung tiada ditangkap dalam trip ini. Mungkin sebab waktu yang terhad, kami lebih tertumpu pada labuhan umpan. Nikmati gambar seterusnya..





Rosli bersama gemangnya.



Tabung yang rajin menggetu.






Diselangselikan oleh rentapan senangin yang menghidangkan aksi terbang ketika bertarung.





Sang senangin yang enggan difotokan. Meronta betul dia.






Ni pun satu. Susak nak kawal. Asyik nak bergerak saja..





Hadiah terbesar dari lubuk Pulau Baru dalam trip ini. Senangin yang berjaya membuatkan kekili berjasa aku berdesing panjang. Bersaiz 1.7 kilo.


Selepas 2 jam memancing, arus surut yang bergerak semakin laju dan umpan kami labuhkan hanyut dibawa arus. Aku mengambil keputusan untuk bergerak ke muara menunggu masa yang sesuai untuk mengusik lubuk siakap disebelah petang. Sementara menunggu waktu sesuai, kami cuba-cuba menghayun joran melontar gewang namun hampa. Setengah jam casting tanpa sebarang sapaan dari penghuni lubuk.


Bila arus lemah, kami berkunjung ke lubuk siakap bersama umpan udang hidup. Menanti lama tanpa sebarang tanda sang siakap ingin menguji peralatan kami. Hanya seekor gerepoh dan sembilang sahaja yang sudi menghibur hati tapi tidak difotokan juga.




Ahkirnya, dikala lewat petang semakin redup. Rosli mengangkat sauh dan aku mengemudi bot menuju ke jeti.

"Lauk dah cukup tapi masih mau mancing juga. Kalau nda, awal lagi di rumah sudah" aku bersuara sendiri. Entah Rosli dengar atau tidak aku pun tak pasti. Yang pasti dengan hasil kami dalam trip ini adalah; senangin 7 ekor, tabung 7 ekor, gemang seekor, kerapu seekor, gelama beberapa ekor dan gerepoh seekor. Sudah cukup banyak untuk 2 pemancing.... Tapi..... Hehehehe
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...