Followers

Monday, August 13, 2012

THE HEART OF SABAH

Lama sungguh tidak menjengah ke blog ini. Apa lagi di bulan Ramadan ini, trip mancing seakan terhenti. Tiada sebarang perancangan untuk mengisi ruang rehat dikala hujung minggu. Rasa tubuh dah tak larat nak bergelumang dengan dengan aktiviti berat dan meletihkan. Namun, rabu lepas, seorang rakan sepejabat melontarkan cadangan yang sukar ditepis. ' Jom kita mancing udang di sungai besar (Kinabatangan) sebelum hujan turun', cadang beliau. Berkebetulan pulak peralatan pancing aku memang berada di dalam kereta. Maka dengan berat hati, aku bersetuju juga. Aku langsung tidak menyimpan sebarang harapan. Maklumlah, kekurangan pengalaman bermain di perairan hutan seperti di Tongod, tempat yang digelar sebagai The Heart Of Sabah.
Pergerakan bermula pagi. Satu trekking belukar harus dilalui sebelum tiba di lokasi.

 Kawasan Trekking bukanlah kawasan hutan tebal tapi sempadan kebun sawit dan belukar. Perjalanan lebih kurang 20 minit.

 Kami tiba dilokasi yang dijanjikan. Gambar diatas menunjukkan pemandu arah kami berposing di tepian sungai yang bakal kami duga. Umpan cacing ternyata mudah didapati disekitar tebing sungai.
Selepas Hampir 2 jam merendam umpan cacing, aku mula merasa panas punggung bila udang di tunggu tak kunjung hadir. Rakan lain turut merasah gelisah. Akhirnya kami sepakat untuk trekking meyusur tepian sungai mudik ke hulu dan menduga di kawasan cetek dan berbatu. Aku lantas melupakan set udang dan umpan cacing. Seketul sesudu yang berada dalam beg pantas ku ikat pada set pancing yang agak kasar. Dalam fikiran, terbayang sang pelian yang berlegar diarus sungai kinabatangan yang dihiasi cantik oleh batuan sungai. Hanya rakan yang kekal bersama umpan cacing dan pancing dasar menanti getuan ikan atau udang sambil berendam mengurangkan haba panas matahari.

 Aksi sang rakan yang setia dengan pancing dasar. Dah tak kira apa juga yang bakal menyambut umpan cacing mereka.

 Manakala aku pula mempertaruhkan satu-satunya umpan tipu yang ku ada. Seketul sesudu jenama bakau. Puas juga ditertawakan oleh rakan. Balingan demi balingan tetap setia ku sembahkan berserta harapan satu henjutan padu dari sang pelian atau barab untuk membuktikan pada rakan-rakan. Namun takdir tetap dengan keputusanNya. Setabah mana pun aku, tetap tiada hasilnya. Mungkin air yang agak keruh dan jenis sesudu yang ku guna jadi pendokong kegagalan ku.

 Salah satu ikan terkecil yang rakan aku daratkan.

 Akhirnya aku keletihan. Duduk merenung air yang mengalir laju. Hanya dua rakan lagi tetap bersemangat bila sang lampam setia menghiburkan mereka. Aku terbaring keletihan bertilamkan arus tipis dan berselimutkan cahaya matahari yang terik.Sungguh, aku belum pernah casting sebegini lama. Tanpa hasil, tanpu henti dan tanpa seteguk air minum. Akhirnya aku hampir terlelap.
 Hinggalah rakan mengejutkan aku sambil menayangkan hasil terbaik mereka lantas minta aku merakamkan detik tersebut.

 Tahniah buat rakan-rakan yang bersemangat.


Hasil pancingan 2 kaki pancing yang teruja dengan sambutan sang ikan sungai. Semoga ada peluang untuk kita bercengkerama dengan pahlawan sungai yang sebenar. Aku bakal buktikan bahawa kepingan besi yang bertebaran didalam air akan lebih menggiurkan dari lendutan cacing di matakail.....

Wednesday, June 27, 2012

Belida Bintik Jalil Alip

Selasa 26 Jun, saya, Shafri dan Herman sempat mancing di Taman Jalil Alip Sandakan. Hari bekerja, membuatkan cuma kami bertiga yang mancing pada pagi tu.


Herman dengan lesen ikan Jalil Alip, belida bintik berumpankan cacing dengan teknik berpelampung.


Saya tumpang bergambar untuk ambil berkat.


Dah naik harga rupanya. 


Haruan pulak. Pun guna umpan cacing.


Kemudahan BBQ untuk sesiapa yang berminat.


Harga ikan di kolam A, yang dibenarkan mancing secara percuma tapi kalau dapat ikan kena bayar la.


Bersepah segala peralatan dan ramuan nak mancing patin.



Guna set udang untuk pertarungan yang mendebarkan tapi hampeh. Patin lebih gemar memain-mainkan kami dengan sekadar timbul di permukaan air.

Thursday, June 7, 2012

Haruan Lagi

Petang tadi tak tau nak buat apa lepas habis kerja, saya try lagi casting haruan di kota larangan. Cuma dapat sekor ni jer.


Hanya janggut hijau kuning ni yang paling sesuai di antara semua koleksi gewang saya yang tak seberapa.


Selamat dilepaskan kembali untuk perlawanan akan datang.




Kolam A yang dipenuhi rumpai hijau dikhaskan untuk teknik Catch n Release sahaja.


Kolam B yang lebih bersih, juga dikhaskan untuk teknik Catch n Release. Hehehehehe...


Beberapa hari yang lalu saya telah memohon kebenaran pihak pengurusan kolam ini untuk membawa masuk rakan-rakan pemancing lain yang berminat untuk casting di sini, namun ia gagal kerana mereka tidak mahu bertanggungjawab sekiranya perkara tidak diingini berlaku.

Wednesday, May 23, 2012

KISAH SI PULAU BARU

Alhamdulillah... selepas sekian lama sunyi dari menjenguk blog ini, aku berpeluang mencoretkan kisah pengalaman seminggu dua yang telah berlalu. Cerita ini sudah lama disimpan dalam kamera kecil yang sering ku usung ke laut namun peluang untuk menukilkannya di sini amat sukar lantaran masalah yang tidak dapat dielak. Tambahan pula kini aku bertugas di pedalaman. Mujur ada Yazid yang mencoretkan tripnya di blog ini. Pun begitu aku akan cuba untuk merekodkan trip yang ku lalui sebaik mungkin di sini. Walaupun dah hampir sebulan berlalu.

Awal bulan mei menyaksikan geng dari kesihatan yang terdiri dari 3 pemancing iaitu, Hatta, Azza dan Key ingin mencuba lubuk cap ayam yang tersimpan dalam GPS ku. Pagi yang dijanjikan, kami bertolak sekitar pukul 7 setengah tanpa sebarang umpan. Hanya bertaruh nasib mencari umpan terbaik di sekitar Teluk Labuk. Sayangnya dalam trip ni aku cuma membawa sebuah kamera yang langsung tidak dapat digunakan lantaran kehabisan kuasa bateri yang kritikal. Aku terlupa mengecasnya sebelum waktunya digunakan. Hanya keluhan dari ku yang terluah lantaran trip gagal direkodkan dalam kamera. Geng kesihatan cukup bertuah bila percubaan mereka berada di tempat, masa dan umpan yang tepat. Deraan demi deraan dirasakan hingga ada diantara kami terketar-ketar bila terkena karan henjutan sang jenahak Pulau Baru. 

Berikutan dari kejayaan trip pertama yang mengujakan pemancing, satu trip dimeterai lagi untuk minggu depannya iaitu pada 12 mei. Aku cuma mampu berkata, " kalau ada rezeki pun tidak kan sama dengan trip ni sebab minggu depan air dah agak besar tapi boleh cuba kalau mau. Mana tau ada rezeki lagi". Maka pertaruhan nasib dibuat lagi. Kali ini aku berbekal kamera yang boleh diguna. 

Trip kali ini bermula agak lewat, kami cuma dapat bergerak sekitar jam 8.40 pagi. Kelewatan memang aku sengajakan untuk menjejak waktu terbaik di lubuk. Keyakinan untuk mendapatkan umpan terbaik juga ada memandangkan rata-rata nelayan di Kg membawa khabar yang mengatakan ikan tamban cukup mewah di pesisir pantai ketika itu. Khabar itu memang benar walaupun agak jauh kami temui kumpulan tamban tapi ia tetap banyak.



Mudah bila kita terjumpa kumpulan tamban. Ikan ini akan melompat tinggi bila kawanannya terganggu oleh pecutan bot. Disamping itu, kawanan burung juga boleh jadi panduan dari jauh. Dalam situasi ini, jaring atau jala kadangkala tidak perlu diturunkan lagi. Hanya perlu pecutkan bot mengelilingi kawanan ikan tamban dan sang tamban akan tersilap lompat ke dalam bot.

Umpan terbaik namun belum dapat mengalahkan umpan udang kapur hidup. Hanya cangkuk di bawah hidungnya dan lepaskan ke dasar. 

Kalau dah dapat saiz begini, memang tersenyumlah sang pemenang. Manakala yang lain akan bergurau mengusik.

Ikan terbesar aku dalam trip ini. Dah mati baru nak tangkap gambar. Risau sang ikan meronta kuat. Hanya berskala 1.65 kilo.


Senangin juga kadangkala mengusik sang pemancing. Pecutannya memang mendebarkan. Teknik senangin yang seolah terlepas akan membuatkan sang pemancing berdebar. Manakala bibirnya yang kasar seperti kertas pasir pula boleh saja mengesek perambut tebal dengan mudah. Cara makannya yang 'hit and run' juga  sukar diduga. Kemenangan dipihak pemancing pasti lebih menceriakan. Tahniah buat Key yang berjaya menjerat spesies handal ini.


Hanya ini hasil trip kami berempat pada 12 mei lalu. 

Kemeriahan bertarung dengan penghuni Pulau Baru pada trip ini adalah seperti dijangka. Hanya sekitar 2 jam iaitu ketika arus pasang mula lemah hingga arus surut bergerak. Malah ia disingkatkan lagi dengan gangguan sebuah bot fibre dari Sungai Monyet (rasanya) yang dinaiki oleh 3 pemancing cina. Dalam kami seronok melayan henjutan, bot fibre tersebut terus bergerak perlahan cuba mendekati kami sejarak demi sejarak. Malah mereka bergerak perlahan sambil merujuk pada SONAR yang ada. Aktiviti ini mungkin membuatkan kumpulan ikan yang baru aktif merasa cuak. Tempat yang hanya sedalam tak sampai 20 kaki masih terganggu dengan bunyi enjin bot ditambah lagi dengan penggunaan SONAR. Ada teori mengatakan bahawa bunyi ultrasound yang dihasilkan oleh SONAR akan mengganggu kumpulan ikan. Apatah lagi tempat cetek begitu, pasti dentungan bunyi yang entah berapa ratus kali dalam sesaat berulang alik dari tranducer SONAR ke dasar akan lebih ketara. Berbeza dengan lubuk yang dalam. frekuensi bunyi agak kurang. Walaupun teori ini tidak disokong oleh sesetengah pihak tapi aku meyakininya berdasarkan pengalaman aku menggunakan SONAR ditempat cetek. Sebab itu aku jarang berbekalkan alat ini dalam mana-mana trip kecuali kalau lubuk tersebut belum dikenal pasti bentuk dasarnya.
Apa pun trip ini tetap membuatkan geng kesihatan bertanya lagi potensi minggu hadapan iaitu 19 mei namun aku dah kunci tarikh itu untuk trip penting bagi geng MSP. Semoga geng lain juga berpeluang bertembung dengan waktu dan umpan terbaik untuk mengusik penguni lubuk di Teluk Labuk. Tahniah buat geng kesihatan. Anda memang bertuah.....

Sunday, May 20, 2012

Berduet di Teluk Labuk

Tarikh 19 Mei 2012 sepatutnya jadi tarikh penting dan manis dalam takwim MSP. Namun bak kata orang, kita hanya mampu merancang, tuhan juga lah penentu segalanya. Selepas satu demi satu masalah timbul akhirnya cuma saya dan Arbakin yang meneruskan perjuangan suci ini. Itupun 'Plan C'. Pelan kontigensi pun gagal menyelamatkan Plan A dan B. 


Persiapan ala kadar untuk dua orang pemancing. 


Belum pun keluar dari muara Gum Gum, perjalanan kami ke Pulau Baru terhenti disebabkan masalah dari salah satu enjin. Sempat juga kami beli sikit udang hidup untuk dijadikan umpan. Walaupun dicuba berkali kali dengan bantuan rakan Arbakin, ianya masih gagal dibaiki. Penyudahnya, enjin dipindahkan ke bot rakan untuk dibawa pulang ke jeti.


Berbekalkan hanya satu enjin 15 kuasa kuda, kami meneruskan sisa-sisa perjuangan. Pegi merambat ikan tamban dulu baru bergerak ke Pulau Baru. Agak banyak jugak ikan tamban hidup untuk dijadikan umpan. tiga kali tebar dah berpuluh puluh ekor.


Arbakin dengan ikan senangin berumpankan tamban hidup. Berkali kali jugak kami diuji dengan penghuni dasar namun kami tewas kerana sukar menjangka waktu yang sesuai menyentap pancing. Cuaca panas terik dengan angin perlahan menyebabkan kami berhenti merendam umpan. Dicuba pulak trolling di laut namun masih hampa.

Kami menuju pulak ke muara sungai untuk mengejar waktu terbaik untuk casting dan trolling. Mana la tahu kalau-kalau rezeki kami murah di sungai. Perjalanan dirasakan amat perlahan dengan satu enjin berbading dua seperti kebiasaan.


Anak gerepoh menjadi saguhati untuk diri saya ketika mancing berteduh di sungai. 

Sepakat dengan semangat yang masih ada, kami bertekad untuk meneruskan target kami di lain masa. Walaupun hanya berdua. Mudah mudahan kali ni cita-cita kami tercapai.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...