Followers

Wednesday, May 23, 2012

KISAH SI PULAU BARU

Alhamdulillah... selepas sekian lama sunyi dari menjenguk blog ini, aku berpeluang mencoretkan kisah pengalaman seminggu dua yang telah berlalu. Cerita ini sudah lama disimpan dalam kamera kecil yang sering ku usung ke laut namun peluang untuk menukilkannya di sini amat sukar lantaran masalah yang tidak dapat dielak. Tambahan pula kini aku bertugas di pedalaman. Mujur ada Yazid yang mencoretkan tripnya di blog ini. Pun begitu aku akan cuba untuk merekodkan trip yang ku lalui sebaik mungkin di sini. Walaupun dah hampir sebulan berlalu.

Awal bulan mei menyaksikan geng dari kesihatan yang terdiri dari 3 pemancing iaitu, Hatta, Azza dan Key ingin mencuba lubuk cap ayam yang tersimpan dalam GPS ku. Pagi yang dijanjikan, kami bertolak sekitar pukul 7 setengah tanpa sebarang umpan. Hanya bertaruh nasib mencari umpan terbaik di sekitar Teluk Labuk. Sayangnya dalam trip ni aku cuma membawa sebuah kamera yang langsung tidak dapat digunakan lantaran kehabisan kuasa bateri yang kritikal. Aku terlupa mengecasnya sebelum waktunya digunakan. Hanya keluhan dari ku yang terluah lantaran trip gagal direkodkan dalam kamera. Geng kesihatan cukup bertuah bila percubaan mereka berada di tempat, masa dan umpan yang tepat. Deraan demi deraan dirasakan hingga ada diantara kami terketar-ketar bila terkena karan henjutan sang jenahak Pulau Baru. 

Berikutan dari kejayaan trip pertama yang mengujakan pemancing, satu trip dimeterai lagi untuk minggu depannya iaitu pada 12 mei. Aku cuma mampu berkata, " kalau ada rezeki pun tidak kan sama dengan trip ni sebab minggu depan air dah agak besar tapi boleh cuba kalau mau. Mana tau ada rezeki lagi". Maka pertaruhan nasib dibuat lagi. Kali ini aku berbekal kamera yang boleh diguna. 

Trip kali ini bermula agak lewat, kami cuma dapat bergerak sekitar jam 8.40 pagi. Kelewatan memang aku sengajakan untuk menjejak waktu terbaik di lubuk. Keyakinan untuk mendapatkan umpan terbaik juga ada memandangkan rata-rata nelayan di Kg membawa khabar yang mengatakan ikan tamban cukup mewah di pesisir pantai ketika itu. Khabar itu memang benar walaupun agak jauh kami temui kumpulan tamban tapi ia tetap banyak.



Mudah bila kita terjumpa kumpulan tamban. Ikan ini akan melompat tinggi bila kawanannya terganggu oleh pecutan bot. Disamping itu, kawanan burung juga boleh jadi panduan dari jauh. Dalam situasi ini, jaring atau jala kadangkala tidak perlu diturunkan lagi. Hanya perlu pecutkan bot mengelilingi kawanan ikan tamban dan sang tamban akan tersilap lompat ke dalam bot.

Umpan terbaik namun belum dapat mengalahkan umpan udang kapur hidup. Hanya cangkuk di bawah hidungnya dan lepaskan ke dasar. 

Kalau dah dapat saiz begini, memang tersenyumlah sang pemenang. Manakala yang lain akan bergurau mengusik.

Ikan terbesar aku dalam trip ini. Dah mati baru nak tangkap gambar. Risau sang ikan meronta kuat. Hanya berskala 1.65 kilo.


Senangin juga kadangkala mengusik sang pemancing. Pecutannya memang mendebarkan. Teknik senangin yang seolah terlepas akan membuatkan sang pemancing berdebar. Manakala bibirnya yang kasar seperti kertas pasir pula boleh saja mengesek perambut tebal dengan mudah. Cara makannya yang 'hit and run' juga  sukar diduga. Kemenangan dipihak pemancing pasti lebih menceriakan. Tahniah buat Key yang berjaya menjerat spesies handal ini.


Hanya ini hasil trip kami berempat pada 12 mei lalu. 

Kemeriahan bertarung dengan penghuni Pulau Baru pada trip ini adalah seperti dijangka. Hanya sekitar 2 jam iaitu ketika arus pasang mula lemah hingga arus surut bergerak. Malah ia disingkatkan lagi dengan gangguan sebuah bot fibre dari Sungai Monyet (rasanya) yang dinaiki oleh 3 pemancing cina. Dalam kami seronok melayan henjutan, bot fibre tersebut terus bergerak perlahan cuba mendekati kami sejarak demi sejarak. Malah mereka bergerak perlahan sambil merujuk pada SONAR yang ada. Aktiviti ini mungkin membuatkan kumpulan ikan yang baru aktif merasa cuak. Tempat yang hanya sedalam tak sampai 20 kaki masih terganggu dengan bunyi enjin bot ditambah lagi dengan penggunaan SONAR. Ada teori mengatakan bahawa bunyi ultrasound yang dihasilkan oleh SONAR akan mengganggu kumpulan ikan. Apatah lagi tempat cetek begitu, pasti dentungan bunyi yang entah berapa ratus kali dalam sesaat berulang alik dari tranducer SONAR ke dasar akan lebih ketara. Berbeza dengan lubuk yang dalam. frekuensi bunyi agak kurang. Walaupun teori ini tidak disokong oleh sesetengah pihak tapi aku meyakininya berdasarkan pengalaman aku menggunakan SONAR ditempat cetek. Sebab itu aku jarang berbekalkan alat ini dalam mana-mana trip kecuali kalau lubuk tersebut belum dikenal pasti bentuk dasarnya.
Apa pun trip ini tetap membuatkan geng kesihatan bertanya lagi potensi minggu hadapan iaitu 19 mei namun aku dah kunci tarikh itu untuk trip penting bagi geng MSP. Semoga geng lain juga berpeluang bertembung dengan waktu dan umpan terbaik untuk mengusik penguni lubuk di Teluk Labuk. Tahniah buat geng kesihatan. Anda memang bertuah.....

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...