"Ahad ni mesti jadi" seorang rakan sms aku awal lagi. Aku mengiyakannya. Aku cukup maklum, rakan tu dah lama cuti dari mancing lantaran menunggu kedatangan seorang ahli baru dalam keluarganya. Selepas isterinya bersalin, trip untuk melepas gian mesti diatur.
Hari ahad, Rosli yang dah lama tak turun, Andi Max, Lee dan aku bersedia untuk mempertaruhkan senjata tempur di perairan Teluk Labuk. Sehari sebelum trip, aku berusaha mendapatkan umpan udang hidup. Malangnya tukang jala tidak turun menjala udang tapi turun memancing udang la pula. Aku terpaksa turun sendiri dan beroleh sekitar 40 ekor namun keesokan harinya semua udang hidup yang disimpan dalam takungan udang didapati mati. Sungguhpun begitu aku tak risau sangat kerana khabar dari dandulit mengatakan bahawa udang kapur dah mula muncul. Aku cuma perlu sediakan pukat 3 lapis untuk dapatkan udang umpan.
Sekitar jam 8 pagi, bot bergerak pantas menuju ke area Dandulit. Alhamdulillah, umpan no satu berjaya dimiliki walaupun tak sebanyak yang diperlukan.
Selepas beberapa aksi yang dilakonkan oleh ikan kerapu yang hanya bersaiz kecil, aku mencadangkan Pulau Baru untuk dicuba. Semua pemancing bersetuju termasuk Bot fiber yang sebuah lagi. Kami pun bergerak ke Lubuk Pulau Baru yang hanya sejauh 1.8 kilometer dari Lubuk Tajam.
Permulaan yang agak sunyi membuatkan aku rasa gelisah. Tiada tanda-tanda getuan ikan kecil. Apatah lagi ikan besar. Hampir setengah jam juga menanti. Aku yang menumpukan perhatian pada hujung joran ku tiba-tiba dikejutkan dengan aksi Lee yang bertarung dengan sang misteri. Joran 30lbs, 5 kaki dan ditemani oleh kekili menegak serta tali sulam 50lb ditekan dengan kuat hingga Lee hanya mampu menyandarkan batang joran ke birai bot sambil menanti pecutan ikan berhenti. Malangnya, pertarungan berakhir dengan ketewasan sang pemancing. Lee kecewa bila tali sulamnya tertewas. Entah ikan apa. Andi Max turut merasai kekecewaan itu. Jarang peluang sebegitu terhidang pada mana-mana pemancing. Giliran Andi tiba juga bila dia kelihatan menyentap kuat jorannya. aku lihat Andi cukup bersedia dengan satu pertarungan yang bakal dilaluinya namun sayang. Perambut yang dipertaruhkannya tewas sebelum pertarungan bermula.
Walaupun kami puas dengan pecutan penghuni Pulau Baru, Lee yang mulanya diuji dengan pecutan ganas gagal mendaratkan tabung peribadinya di Pulau Baru. Begitu juga dengan sepupu-sepupu aku yang berlabuh hampir dengan kami. Hanya mampu melihat kami bertegang urat dengan ikan tabung. Akhirnya kami beralih ke keriting setelah Pulau Baru sunyi dari getuan.
Kali ini, aku dapat rentak pergerakan yang agak baik. Setiap lubuk dilawati diwaktu arus pasang dan surut yang sesuai. Ditambah lagi dengan umpan terbaik bagi aku. Alhamdulillah. Arus hampir serupa akan berulang lagi 2 minggu akan datang. Semoga umpan terbaik juga tidak menghilang waktu itu. Aku teringin berhibur lagi.
Akhir sekali... Tahniah buat Rosli yang pertama kali turun selepas lama bercuti lantaran menanti puterinya. Juga tahniah buat Saudara Mayong yang masih belum turun mancing walaupun putera keduanya sudah dilahirkan. Kami tetap menanti. hehehehe.....