Hari ahad jatuh pada 1 mei bersamaan hari pekerja. Aku pula awal pulang pada jumaat. Sebelum solat jumaat aku sampai di rumah. Kelam kabut mengejar waktu solat. Keluar saja dari masjid Kg, aku terus dihidangkan dengan satu cerita dari beberapa orang.
"Dua ekor kanai didaratkan hanya dari jeti semalam" dakwa seorang rakan dan disokong oleh yang lain. Aku tergamam. Cerita ditambah lagi.
"Ada yang dapat ikan merah dan kemarin pulak ada yang tertewas oleh pecutan ganas di takat selunsung". Hati siapa tidak terbakar? Air memang cantik masa tu. Tak caya cuba tengok kalendar di bawah. Warna kuning kan? Kebetulan, hari ahad diatur untuk 2 rakan yang kecewa pada trip sebelum ini lantaran trip yang langsung tak dapat turun pancing kerana cuaca yang buruk. Rostam dan Max sedia menyahut cabaran. Nasib kamu la bro sebab kena air yang cantik.
Pagi ahad, sekitar jam 7 setengah, kami terpacak di jeti dan bersedia untuk mengharungi perjalanan trip untuk hari ini. Peserta seramai 4 orang, aku, Andi Max, Rostam dan adik aku. Perjalanan kami diiringi oleh sebuah lagi bot yang dikemudikan oleh Sunal dan disertai oleh rakan sekampung, Jais. Namun kami tidak la seratus peratus bersama dalam perjalanan trip ini.
Di Takat keriting, aku berjaya menbuatkan pemancing geram kerana cuma aku yang banyak mendaratkan ikan tabung skala 500 gram ke 800 gram. Kalau tak silap dalam 8 ekor juga lah. Manakala pemancing lain beroleh kerapu. Cuma aku tak teringin pulak nak tangkap gambar hasil aku dalam trip ni. Sunal yang berada tidak jauh dari kami juga asyik mendaratkan ikan kerapu. Tabung yang diharap tapi kerapu yang naik. Dah la Sunal tak makan kerapu. Hehehe.
Tatkala arus surut bergerak lebih laju, keaktifan ikan semakin kurang. Kami sepakat untuk menjamah bekalan sebelum berpindah. Sedang enak menyuap nasi sejuk, joran Max dilentur hebat oleh ikan misteri. Sayangnya, Max gagal mengawal situasi. Aku cuma menasihati, andai ikan memecut, jangan ditambah drag. Biarkan ia letih. Kepantasan tangan Max memusing drag lebih ketat membuatkan tali utama 30lb putus. Maka beberapa pesanan dan teknik mudah diperturunkan pada Max agar tidak tersilap lagi dimasa akan datang.
Selesai makan, kami bergerak ke Takat Tadika. Berharap peristiwa GT menjamah umpan pada trip yang lepas berulang. Maklumlah, air dan arus sama. Surut laju. Namun hanya rostam yang diuji dan dia juga gagal mengawal pecutan pantas tersebut. Selepas menunggu beberapa lama, aku mengambil keputusan untuk mencuba nasib di muara. Takat selunsung harus disinggah kerana arus sudah pun berkurangan. Mungkin sesuai untuk labuhkan umpan. Tiba di lubuk, sudah ada dua bot nelayan yang berlabuh. Aku yakin, ikan memang ada, air memang sesuai kerana nelayan tersebut tahu waktu yang sesuai. Maka kami pun turut sama berlabuh.
Masing-masing berharap dapat merasa pecutan sang siakap termasuk aku. Andi, Jas dan Rostam adalah yang paling berharap kerana masing-masing belum ada lesen siakap di lubuk ini. Tunggu punya tunggu, tiba-tiba Max menyentap. Joran melengkung cantik. Aku cuma mampu memberi panduan melalui kata-kata. Ternyata Max sedikit gugup tapi dia dapat mengikuti arahan. Dalam hatiku berkata, kalau la Max minta ganti kan bagus. Hehehe. Akhirnya Rostam berjaya menyauk ikan idaman kebanyakan pemancing. SIAKAP PUTIH..
"Patukan kecil ja, lepas tu diheret macam ketam tapi bila disentap, larian bukan alang-alang"
"Memang begitu selalu mainan siakap sini" aku menjawab.
"Ini baru lah bikin ketagih" kata Max lagi. Aku cuma tersenyum. Mancing beb, memang best. Jawab hati aku.
Ini lah hasil keseluruhan kami sepanjang hari, 4 pemancing berumpan udang hidup. Sayangnya aku terpaksa bergerak ke KK pada keesokan hari kerana urusan kerja. Kalau tak, teringin juga mengusik Takat selunsung secara senyap. Hehehe... Sekalung tahniah buat Max kerana beroleh trofi idaman. Bukan semua orang bernasib baik seperti dia.


























