Seminggu berlalu, aku tetap dikekang oleh kesibukan yang sukar dielakkan. Trip yang dirakam dalam kamera kompak aku masih belum terpindah ke dalam blog ini. Akhirnya, selepas seminggu, baru la ada kesempatan untuk ini.
Trip ini bukan la trip yang terancang. Ianya berlaku selepas dua rakan datang ke rumah ketika aku sedang menikmati cuti sakit akibat mata merah. Mereka datang selepas tau aku tidak turun kerja. Lantas mengajak aku melawat lubuk udang. Umpan cacing sudah disediakan walaupun mereka tahu aku memang tak guna umpan cacing.
Sekitar jam 10 pagi kami pun berada dilubuk udang yang masih keruh lantaran hujan 2 hari lepas. Robert, Jais, Bob dan juga aku membaling umpan bersama harapan. Hanya aku seorang yang menggunakan umpan anak udang yang hidup. Rakan yang lain tetap setia dengan cacing.
Kami bergerak pulang kira-kira jam 4 setengah petang setelah umpan cacing habis. Walau pun aku offer anak udang, cadangan untuk pulang lebih kuat di suarakan. Maka kami pun sepakat untuk pulang. Lagi pun hasil dah cukup untuk lauk semeja dua.
Apa pun, aku tetap bersyukur, sistem sungai yang cuma membenarkan sang udang galah dipancing membolehkan kami kaki pancing melunaskan gian yang datang. Ada juga diantara rakan yang cuba menjala namun hasil memancing lebih banyak dari menjala. Bukan seorang dua yang pernah mencubanya. Malah udang yang cuma boleh ditemui ketika musim banjir/tengkujuh membolehkan populasi udang di ulu Sg Beruang berehat sehingga tengkujuh akan datang. Kalau ada yang cuba mengailnya diluar musim banjir, maka sang anak ikan kekek dan utiklah yang melayannya. Situasi ini sekaligus menjadi altenatif kaki pancing apabila musim gelora mengocak laut. Mungkin, ini trip udang terakhir di tahun ni (mungkin lah..). Jumpa lagi di musim tengkujuh akan datang.