Followers

Tuesday, May 31, 2011

ANTARA CERITA HAPPY DAN TRAGEDI

BILA SANG TAIL DANCER DICULIK MANGSA



2 hari sebelum hujung minggu, air sudah mula cantik untuk merendam umpan. Begitu juga dengan casting. Kali ini tiada cerita tentang kanai kedengaran. Hanya GT dan kerapu bagak yang sering dilihat jadi mangsa perawai tegar di kg. Aku pula sengaja ambil cuti untuk memancing diwaktu yang sangat sesuai bagi aku. Kalau nak harap cuti pesta keamatan mungkin dah agak terlewat. Kali ini aku turun sebagai pencari ikan. Langsung tidak terfikir untuk khabarkan perjalanan trip ini di blog MSP ini. Sebab aku dan anak buah aku turun adalah bertujuan untuk mencari laba. Sekadar membantu anak buah aku. Kenderaan kami tetap seperti dulu. Bot biru dan dipacu oleh dua buah enjin berkuasa 15 hp.

Bot yang sudah agak lama tapi masih berjasa pada aku.


Dalam trip ini aku memang tidak teringin menangkap gambar bersama ikan. Boleh dikatakan hasil memang agak meriah dan demi menjimatkan masa, kami langsung tidak bergambar bersama hasil pancingan kami berdua. Di sini, aku cuma boleh menceritakan sedikit perjalanan trip kami melalui teks. Gambar yang ada hanya lah sekadar gambar pemandangan.






Dari beberapa orang nelayan yang aku kenali, aku mendapat maklumat bahawa ada dua lubuk yang dipercayai dihuni sang siakap mega kerana melalui cerita mereka, ada seorang nelayan dari Kg Dandulit yang mahir dengan tempat tersebut sering pulang dengan siakap lebih sepuluh kilo hasil pancingan. Apa pun, itu hanya cerita nelayan. Aku sendiri tidak pasti lokasi tepat dia. Namun bila teringat artikel siakap pesisir Pulau Pinang dari sebuah majalah pancing tempatan, Aku percaya cerita sang nelayan memang bukan rekaan. Malangnya aku tiada peluang untuk menguji kebenaran cerita tersebut.


Maaf, tersasul pula melihat gambar pemandangan. Lubuk pertama kami lawati adalah Pulau Baru dan hanya menghidangkan beberapa ekor ibu gelama yang bersaiz sederhana. Selepas kumpulan ibu gelama hilang, kami beralih ke Takat Scow dan dihidangkan dengan pecutan sang senangin serta tabung yang seperti berpesta. Umpan udang memang tak sempat cecah dasar sudah dilarikan. Pun begitu, suasana meriah itu hanya bertahan lebih kurang 20 minit. Takat tersebut sunyi tanpa pagutan ikan. Pelik benar aku rasa. Selepas Takat Scow sunyi, kami beralih Keriting.


Tiba di Takat Keriting, keputusan bertambah teruk. Jangankan ikan tabung atau kerapu, iakn gelama atau utik sekali pun langsung tak sentuh umpan. Apa yang berbeza dengan suasana lubuk lain adalah, Keriting dihiasi oleh deburan ikan yang sesekali mengejutkan kami. Aku percaya, pasukan ikan yang meronda itu lah membuatkan sang ikan dasaran bersembunyi. Teringin pulak aku mencuba balingan gewang. Mana tau mencakup. Lantas ku ikat juga sang TDD 7. Balingan di buat secara blindcast. Maklumlah, mana ada ilmu bab casting ni. Masuk balingan ke4, tali bagai disentak kuat. Joran disentap balas dan shimano aernoss dikerah dengan keras. Drag diuji beberapa saat sebelum pecutan sang misteri hilang. Aku bagai tergamam seketika. Sang misteri berjaya melepaskan diri.


Rupanya mata tiga Gewang TDD aku yang gagal dalam ujian getir sebentar tadi. Terkangkang sedemikian rupa. Tak la teruk sangat tapi apasal boleh rabut? Aku sendiri tak dapat menjawapnya. Mata kail hanya mampu dibetulkan semula. Gagal pun gagal lah. Nak buat macamana kalau memang tiada pengganti. Aku tidak berputus asa. Pecutan misteri tersebut sangat mengujakan. Dalam terkaan hanyalah GT jadi sasaran. Lariannya berbeza dengan kanai, siakap atau MJ. Apatah lagi di takat Keriting langsung tiada spesies muara tersebut? Memang GT juga jadi suspect utama kami.

Acara casting diteruskan. Anak buah aku hanya memerhati saja. Dia tidak berani mempertaruhkan set yang dia ada. Risau hanya tewas dipertarungan. Sesi kedua selepas tertewas, berlangsung lebih 10 balingan. Masuk balingan ke 13 kalau tak salah ingat, Situasi tadi berulang lagi. Tali rasa bagai dihenjut mengejut. Kemudian disusuli satu larian pantas dan panjang. Aku cuma mampu bertahan. Kekili dan joran benar-benar teruji. Tiba-tiba pecutan terhenti. Aku cuba pam joran. Terasa bagai tiada beban langsung. Putus kah? Kayuhan karauan kekili semakin pantas.

"Lepas lagi kah?" anak buah aku bertanya.

"Tah.. cam ringan.. Eh.. eh ada!!" Aku menjawab sambil menggandakan kepantasan karauan. Tali lantas melintasi bawah bot dan sekali lagi joran melengkung hebat berhias bunyi kekili. Dengan berhati-hati, aku melepaskan tali yang berada di bawah bot melalui haluan bot. Kali ini larian sang misteri semakin jauh. Tali sulam 30lb dalam spool semakin kurang. Mujur ia berhenti dan aku berpeluang medapatkan semula tali yang banyak dilarikan. Mangsa hanya memberatkan diri. mengikut tanpa rela helaan sang joran. Sehingga hampir dengan birai bot, mangsa cuba lagi memecut tapi anak buah aku lagi pantas menyauk agar tiada peluang untuk ikan tersebut melepaskan diri. Dengan tertewasnya ikan tersebut, hati ku pun terbuka untuk membuat artikel ini kerana ini adalah antara rekod peribadi aku selama aku berkecimpung dalam hobi yang hanyir ini.


TENGGIRI.. Pelari pecut yang mungkin biasa bagi sesetengah pemancing tapi bagi aku, ini cukup menguji peralatan ringan yang aku ada. Malah sungguh tak disangka Takat Keriting turut jadi lapangan rondaannya.


Berskala 3.35 kilogram. Ini antara kenangan yang sukar aku lupakan.

Selepas pertarungan kritikal berakhir dengan kemenangan, Takat keriting dihujani oleh jatuhan gewang bertalu-talu oleh 2 pemancing namun tiada lagi aksi lantas kami beralih ke Takat Tadika.

Di Takat Tadika, aku dihiburkan oleh 2 sambaran rabut pada popper halco roosta. Belum ada rezeki nak dapat lesen popper. Kami bergerak pulang sekitar jam 4 setengah petang bersama cerita yang tak sabar dikongsikan bersama.




Gambar diatas adalah hasil keseluruhan dalam trip mencari laba.




BILA TRAGEDI MENGUJI

Gambar seterusnya hanyalah sekadar menceritakan bahawa selepas trip tenggiri pada khamis lepas, aku turun lagi hari ahad bersama team dari kinabatangan. Kali ni aku tertinggal kamera di rumah. Nak harap HP pun tak dapat juga. Pun begitu aku cerita yang aku nak sampaikan bukanlah hasil memancing tapi hanya sedikit insiden bot pecah ketika dalam perjalanan pulang. Penerbangan cemas terpaksa dilakukan dan pendaratan cemas juga dibuat di jeti. Mujur para pemancing berkerjasama.




Gambar dari sebelah luar dinding bot. Gambar pertama pula rekahan dari atas sampai ke lunas.



Gambar dari sebelah dalam dinding Bot. Air masuk dengan deras andai tiada langkah-langkah kecemasan. Pemancing terpaksa mengimbangi bot dan kelajuan diseragamkan agar air tidak menujah masuk. Trip terpaksa dipendekkan. Keselamatan lebih utama. Selepas insiden ini, aku mungkin hanya dapat turun memancing dengan bot kecil yang cukup untuk 2 orang. Pembaikan bot mungkin memakan masa yang agak lama.




BILA BERMAIN DI KAWASAN MUARA



Isnin, masih lagi cuti. Air pasang sudah bergerak laju dipagi hari. Waktu begini hanya sesuai untuk memancing waktu petang. Mungkin boleh casting atau menghanyut udang hidup. Aku merasa boring tanpa sebarang aktiviti. hendak repair bot, barang belum beli. Lantas ku cari anak buah aku dan sorang lagi anak sepupu aku. mereka bersedia berpanas bersama aku. Kami guna bot kecil milik anak buah aku. Agenda pertama adalah casting di pulau sebelum air benar-benar sesuai untuk menjala udang. Aku hanya menerima satu sambaran tapi rabut. Entah ikan apa.



Ni anak sepupu aku. Merasa juga dia MJ hasil casting. Aku pinjamkan dia gewang dan set pancing sementara aku duduk berehat. Dah rezeki dia lah. Selesai casting, kami menjala udang. Susah juga dapat udang hidup sebab banyak sangat saingan. Tak silap mungkin ada 9 buah bot hanya dari Sg Beruang mencari udang hidup untuk umpan mancing. Kami berjaya juga dapatkan kira-kira 20 ekor udang hidup. Terus bergerak ke lubuk untuk menghanyut udang.



Mangsa hanyutan pertama. MJ seberat 1.34 Kg.

Mangsa kedua hanyutan udang. Gerepoh 2.16 kg. Sedap juga layan ikan ni. Tapi aku tengok je lah. Ni mangsa anak buah aku. Selepas 2 Mangsa hanyutan udang ditewaskan, umpan kami habis digetu buntal. Kami bergerak pulang selepas umpan habis. Syukur... Ada juga MJ dijadikan lauk makan malam. Andai ada trip akan datang, InsyaAllah akan dinukilkan disini. Tapi trip bergantung dengan bot biru. Entah bila la siapnya.. Jumpa lagi di trip akan datang...

Wednesday, May 18, 2011

MELABUH SAUH DI PULAU BARU...

Cuti lagi hari selasa, sempena hari wesak. Dalam kepala sudah merancang beberapa agenda penting dalam aktiviti memancing. Bertujuan untuk merawat hati yang kumpau pada sabtu lepas. Trip sengaja didiamkan kerana risau trip terbengkalai sebab semuanya belum pasti. Umpan belum ada, bot tak tau 'available'nya, air pasang pun dah besar. Oleh kerana banyak ketidakpastian maka plan kena banyak. Agar perjalanan ke kg tidak sia-sia. Satu-satunya rakan yang dihubungi hanyalah Rosli. Kebetulan dia pun dah lama tak turun dan 2 trip terakhir beliau bersama aku mengecewakan. Rosli bersetuju dengan ajakan aku. Maka dia juga kena patuhi sebarang perubahan dalam trip ini. Antara plan yang dirangka untuk hadapi sebarang kemungkinan adalah;



  1. Tiada bot: Terpaksa memancing hanya di jeti berumpan udang yang dibeli di pasar.


  2. Tiada umpan hidup: Guna umpan pasar yang dibeli dan potensi memang rendah.


  3. Arus lewat bergerak: Test casting di pulau yang berhampiran.


  4. Arus awal bergerak: Pasang pukat untuk cari udang hidup dan memancing diwaktu arus pasang mula berhenti. Dalam kes ini, masa memancing cuma sekitar 2 jam sahaja.

Disamping itu, Sekiranya ada bot, maka masa memancing akan menjadi panjang sebab kena tunggu arus surut habis dan menjala udang untuk mengusik lubuk siakap. Casting juga boleh dipraktikkan sewaktu arus surut beransur lemah.


Pendek kata, Rosli bersetuju. Apa yang penting dapat memancing. Aku bergerak dari batu 7 bersama Rosli seawal jam 5 setengah pagi. Tiba di jeti, ternyata umpan hidup tiada tersedia seperti yang diharapkan. Anak buah aku terlupa menjala udang. Mujur lah bot tidak diguna oleh sesiapa. Kami pun bergegas menyiapkan segala keperluan. kira-kira jam 8 setengah baru selesai setting bot. Arus sudah laju. Plan ke empat dilaksanakan. Mencari udang hidpu dengan pukat. Dijangka, arus akan berhenti sekitar jam 10.30 pagi. Waktu itu lah masa yang ada untuk kami melabuh pancing. Kami bernasib baik, udang hidup mudah didapati waktu arus pasang bergerak laju.


Tanpa lengah, kami bergerak ke lokasi. Pulau Baru jadi taruhan. Berbekalkan masa yang pendek, kami tiada masa untuk berpindah lubuk. Tiba di lubuk Pulau Baru, Umpan udang dicangkuk kemas dan dilabuhkan. Dalam trip ini juga aku mengambil kesempatan menguji mata kail tuang. Gambar di atas adalah contoh cara cangkukan udang hidup pada matakail tuang.

Ini ikan pertama didaratkan oleh matakail tuang. Ikan pertama dalam trip ni ada lah seekor kerapu oleh Rosli tapi tidak difotokan. Selanjutnya hanyalah gambar pemancing bersama tangkapan. Gambar pemandangan langsung tiada ditangkap dalam trip ini. Mungkin sebab waktu yang terhad, kami lebih tertumpu pada labuhan umpan. Nikmati gambar seterusnya..





Rosli bersama gemangnya.



Tabung yang rajin menggetu.






Diselangselikan oleh rentapan senangin yang menghidangkan aksi terbang ketika bertarung.





Sang senangin yang enggan difotokan. Meronta betul dia.






Ni pun satu. Susak nak kawal. Asyik nak bergerak saja..





Hadiah terbesar dari lubuk Pulau Baru dalam trip ini. Senangin yang berjaya membuatkan kekili berjasa aku berdesing panjang. Bersaiz 1.7 kilo.


Selepas 2 jam memancing, arus surut yang bergerak semakin laju dan umpan kami labuhkan hanyut dibawa arus. Aku mengambil keputusan untuk bergerak ke muara menunggu masa yang sesuai untuk mengusik lubuk siakap disebelah petang. Sementara menunggu waktu sesuai, kami cuba-cuba menghayun joran melontar gewang namun hampa. Setengah jam casting tanpa sebarang sapaan dari penghuni lubuk.


Bila arus lemah, kami berkunjung ke lubuk siakap bersama umpan udang hidup. Menanti lama tanpa sebarang tanda sang siakap ingin menguji peralatan kami. Hanya seekor gerepoh dan sembilang sahaja yang sudi menghibur hati tapi tidak difotokan juga.




Ahkirnya, dikala lewat petang semakin redup. Rosli mengangkat sauh dan aku mengemudi bot menuju ke jeti.

"Lauk dah cukup tapi masih mau mancing juga. Kalau nda, awal lagi di rumah sudah" aku bersuara sendiri. Entah Rosli dengar atau tidak aku pun tak pasti. Yang pasti dengan hasil kami dalam trip ini adalah; senangin 7 ekor, tabung 7 ekor, gemang seekor, kerapu seekor, gelama beberapa ekor dan gerepoh seekor. Sudah cukup banyak untuk 2 pemancing.... Tapi..... Hehehehe

Sunday, May 15, 2011

MASIH ADA KAH KANAI SUNGAI BERUANG?

Jarang benar aku luangkan masa dijeti sebelum bergerak dalam mana-mana trip yang aku lalui, hanya untuk menyiapkan perambut. Persediaan sebegitu sebenarnya boleh dilakukan di bot tapi kali ini, buruan kami bukanlah sebarangan ikan. Menggunakan peralatan kelas ringan bukan pilihan tapi hanya itu yang termampu. Lantaran itu, persiapan ditahap kemahiran perlu dititik beratkan. Ikatan perambut perlu diambil perhatian. Kami sering terdengar kes gewang pecah, tali meletup, drag tak berfungsi, joran kecundang, pemancing menggeletar dan banyak lagi tanda-tanda ketewasan pemancing yang ingin bertarik tali dengan samseng muara ini.

KANAI, TEMBARING, PANTAHAN, BORNEO BLACKBASS. Antara beberapa nama yang diberi untuk samseng ini. Di sini, aku suka menggunakan nama Kanai untuk ikan ini. Selama hampir dua tahun tiada khabar kedengaran kanai didaratkan dengan apa cara sekali pun di Sg Beruang. Hingga ada yang bertanya, 'masih ada kanai ka di kampung'? Namun berbeza pada tahun ini, ada beberapa kes kanai dijerat dengan pancing dasar hanya dari jeti! Malah, skala 13.5 kilo didaratkan dengan rawai juga kedengaran dari perbualan aku bersama rakan nelayan.




Antara kanai yang pernah tertewas oleh kaki pancing sebelum ini. Ini hanya bersaiz baby tapi cukup untuk merenjat adrenalin kita hingga ada yang terketar-ketar.


Lantaran inginkan pengalaman bertegur sapa dengan samseng muara ini, aku (Alphakilo), Mayong, Rosmady dan Nazri berhimpun di jeti pada hari yang dijanjikan. Aku meminta sedikit masa untuk menyiapkan perambut agar kesilapan kerana kecuaian tidak berlaku. Dengan senang hati, rakan lain mempersilakan sambil memerhati.


Selesai persiapan terakhir tersebut, kami bertolak. Air sudah hampir pasang maksimun. Tidak sesuai untuk aktiviti casting. Aku mencadangkan agar kami memulakan sesi pancingan dengan teknik trolling. Baru beberapa minit gewang berenang jauh di belakang bot, satu sambaran ringan merenjat. Pantas Nazri membalas sentap.

Alu-alu kecil berjaya ditawan. Satu permulaan yang baik. Tuan punya alu-alu sirip hitam enggan berposing bersama hasil pertamanya. Mungkin sebab ikan tersebut bukan ikan sasaran. 'Tunggu ada kanai', jawabnya ketika diminta bergambar dengan ikan.

Selepas alu-alu sirip hitam didaratkan, ada beberapa sambaran lagi menyusul tapi berakhir dengan kemenangan ikan. Pergerakan kami diteruskan sehingga tengahari. Casting cuba dipraktikkan di tempat-tempat yang cantik tapi tiada sapaan. Aku mencadangkan kami berehat ditepi sungai yang teduh untuk menikmati bekalan makanan masing-masing.

'arus surut masih kuat ni. Belum sesuai menunda gewang lagi' aku bersuara.

Yang lain turut bersetuju. Sebenarnya selain kami ada 4 bot lagi menjelajah sistem muara Sg Beruang dengan niat yang sama. Antara tekong yang terlibat adalah Sunal, Jas, Atong dan Din. Walaubagaimana pun bot kami adalah yang 100% menggunakan gewang.


Selepas berehat, kami memulakan tundaan sesi petang. Dengan kondisi arus yang semakin perlahan dan air yang cetek, aku percaya, gewang akan mudah melintasi kawasan jajahan sang kanai. Bila bot kami melintasi satu spot yang aku gemari, joran Rosmady melentur, manakala kekili aernoss aku pulak menjerit. Enjin dihentikan. Aku meminta dua pemancing lain lagi mengarau gewang mereka. Dua pancing bertegang urat dengan momentom bot yang dipacu perlahan oleh enjin 15 HP, lantaran gewang tersangkut dibatuan dasar. Tiba-tiba Mayong bersuara, 'Eh cam ada ikan lah pancing aku. Eh.. ikan!!' aksi sang ikan dilayan dengan agak terkejut. Mangsa merentap gewang ketika Mayong mengarau perlahan pancingnya. Mangsa berjaya didaratkan....


Kanai pertama Mayong tahun ini dan kanai keduanya dilubuk yang sama. Senyuman lebar bila berjaya renew lesen kanai. Mungkin bagi sesetengah pemancing, kanai tersebut kecil sahaja tapi itu bukan persoalannya. Kanai adalah antara ikan yang sukar dicari. Tahniah Mayong..


Selain dari nama-nama tekong yang disebutkan diatas, ada juga bot lain yang mencuba nasib. Tekong dalam gambar di atas kami gelar sebagai Kanai Master lantaran menewaskan tidak kurang dari 5 ekor kanai dalam tempoh 3 hari!


Bila berselisih dengan bot Sunal, aku bertanya kabar. Sunal dengan pantas merapati kami dan terus memperlihatkan hasil yang mereka perolehi. Seekor kanai bersaiz mencabar dan seronok ditentang sudah ditawan. Kami rasa teruja dan jeles.



Lihatlah aksi Sunal ketika diminta posing dengan kanainya. Menariknya, gewang yang menjerat kanai ini dan kanai Mayong bukan lah halco tapi hanya hinomiya. Entah apa kelebihan gewang cap ayam tersebut.



Sesi petang diteruskan demi memburu ikan impian bersaiz mencabar. Takkan nak naik curut ja. Sesekali nak juga melihat kepala lutut rakan terketar-ketar dihenjut kanai perkasa..


Gambar ni no komen lah. Malas nak cakap dah sebab aku dah la langsung tak kena sambar, gewang putus pulak tu sangkut. Pedih mata sendiri lah tengok aksi rakan-rakan.. hehehe..



Aksi terakhir Rosemady pada lewat petang. Drag kekili terus tertekan melayan pecutan gila dari hujung tali. Kemuncak pertarungan ini menyaksikan ketewasan sang pemancing. Ditambah lagi malang bila ianya satu ketewasan yang merugikan lantaran gewang halco sorcerer istimewa beliau menjadi korban. Maka tamat lah sesi troling sepanjang hari kami pada trip tersebut. Kami tiba di jeti kira-kira jam 5 setengah petang.

Thursday, May 12, 2011

KAEDAH PEMBIKINAN PANCING TUANG

Artikel ini sekadar mengisi ruang dan menyimpan sedikit maklumat dan ilmu untuk dijadikan rujukan dimasa akan datang. Bagi yang pernah melakukannya, pasti akan mudah memahami proses ini. Manakala bagi yang pernah menggunakan matakail sebegini pasti akan tahu di mana tempatnya dan bilakah waktunya menggunakan salah satu senjata ampuh ini untuk menewaskan mangsa ganas dan sensitif terutama di perairan muara.


Matakail ini lebih dikenali sebagai hongkong hook di kalangan kaki pancing seluruh malaysia manakala nama tempatan mata kail jenis ini adalah 'pancing tuang'. Tidak semua tempat di Sandakan aku temui mempraktikan pancing tuang yang di'patern'kan sendiri seperti kebanyakkan nelayan kecil di Sg Beruang. Sering kali aku akan terjumpa pemancing atau nelayan dari kg lain menggunakan pancing tuang yang sedia ada dijual di kedai. Menurut nelayan yang gemar menggunakan pancing tuang ini, perbezaan pancing tuang buatan sendiri dan pancing tuang dari kedai adalah kelasakannya ketika bertarung dengan mangsa perkasa dan berat serta saiz yang boleh ditentukan sendiri. Menurut cerita nelayan, teras pancing tuang yang dibeli di kedai hanya bergantung dengan kemampatan timah yang melekat di batang mata kail. Apabila diberi tekanan kuat, timah dan mata kail akan berpisah sedangkan mata kail tersangkut di bibir ikan manakala tali pancing diikat di timah. Apabila dua elemen penting ini terpisah maka pertarungan antara pemancing dan mangsa akan terhenti. Berbeza dengan pancing tuang yang dipasangkan timah melalui sedikit proses yang agak sukar, tali pancing akan terikat teguh di 'telinga' mata kail yang tersembunyi didalam timah. Itu pendapat nelayan yang sering menggunakan mata kail jenis ini. Sejauh mana kesahihannya, aku belum dapat mempastikan sebab aku sendiri belum pernah menggunakan pancing tuang yang boleh di dapati di kedai.


Gambar berikut menunjukkan sedikit proses menuang mata kail. Antara peralatan yang patut disediakan adalah seperti yang ditunjukkan di dalam gambar dibawah.


Ini adalah asas dalam peralatan menuang mata kail. Mungkin bagi mereka yang serius dalam memproses mata kail ni akan menyediakan peralatan yang lebih selesa.

Acuan dan mata kail yang bakal dituangkan timah cair. Acuan selalunya diperbuat dari kayu belian yang dikorek lubang berbentuk kon dan dibelah dua. Manakala dawai lurus tersebut berfungsi sebagai laluan untuk lubang mengikat perambut pancing.


Letakkan matakail dalam posisi yang betul pada acuan. Pastikan lubang untuk teras mata kail tidak terlalu besar untuk mengelakkan timah cair mengalir turun melalui lubang.

Kepitkan kedua-dua belah acuan dan masukkan dawai keras tadi ke lubang yang disediakan. Pastikan dawai tersebut melalui lubang telinga matakail. Asas kekuatan ikatan penghubung perambut dan mata kail adalah dibentuk oleh dawai tersebut.


Dengan berhati-hati, cairkan timah diatas api yang sederhana. Penggunaan dapur gas adalah lebih baik dan cepat. Di sini, pemprosesan dilakukan oleh nelayan yang perpengalaman dan hanya penggunakan peralatan kampung sahaja.


Setelah yakin bahawa timah sudah cukup cair, angkat tin menggunakan alat tahan panas dan meyakinkan lalu tuangkan timah cair ke dalam acuan yang telah disediakan. Pastikan proses ini berjalan dengan lancar dan pantas kerana timah akan membeku jika mengambil masa agak lama. Juga pastikan tin tidak terjatuh atau terlebih tuang. Percikan timah yang terkena di kulit akan menyebabkan kecederaan. Berhati-hati lah mengendalikan timah cair.

Timah yang cukup cair dan mengalir masuk ke segenap ceruk acuan akan memberi hasil yang baik. Kepadatan timah diperlukan untuk memininakan saiz timah. Sejurus selepas timah membeku, cabut dawai keras yang dicucuk melintang di atas mata kail tadi. Ini akan meninggalkan kesan lubang untuk mengikat tali atau perambut.






Sebelum timah membeku sepenuhnya, potong bahagian lebihan timah yang tidak dikehendaki. proses ini memerlukan kita memegang timah keras yang masih panas. Berhati-hati melakukan proses pembentukan ini. Setelah puas hati dengan kualiti dan bentuknya, mata kail yang lain akan dituangkan timah seperti proses awal tadi.


Hasil tuangan yang belum dibentuk dengan baik. Bagi mereka yang enggan menyentuh timah panas, boleh la disejukkan sebelum dibentuk namun timah yang sudah sejuk agak sukar dipotong. Proses ini memerlukan alat untuk menggosok.


Gambar di atas adalah contoh mangsa yang dijerat oleh pancing tuang. Antara ikan yang sering terjerat dengan pancing tuang ini adalah MJ, tanda, gerepoh, siakap, tembaring, senangin dan banyak lagi. Kebanyakan ikan muara mudah dijerat dengan mata kail ini terutama ikan yang suka menghuni reba kayu. Umpan yang sesuai untuk pancing tuang ini pula hanyalah udang hidup dan sotong hidup.


Andai ada masa dan bahan bergambar, aku akan jelaskan lebih lanjut cara penggunaan, tempat dan masa yang sesuai serta teknik ikatan dan cara persembahan pancing tuang ini. Nantikan maklumat seterusnya.... TERIMA KASIH..



Tuesday, May 3, 2011

DAN... KENANGAN MANIS SANG PEMANCING PUN TERCIPTA LAGI..

Hari ahad jatuh pada 1 mei bersamaan hari pekerja. Aku pula awal pulang pada jumaat. Sebelum solat jumaat aku sampai di rumah. Kelam kabut mengejar waktu solat. Keluar saja dari masjid Kg, aku terus dihidangkan dengan satu cerita dari beberapa orang.


"Dua ekor kanai didaratkan hanya dari jeti semalam" dakwa seorang rakan dan disokong oleh yang lain. Aku tergamam. Cerita ditambah lagi.


"Ada yang dapat ikan merah dan kemarin pulak ada yang tertewas oleh pecutan ganas di takat selunsung". Hati siapa tidak terbakar? Air memang cantik masa tu. Tak caya cuba tengok kalendar di bawah. Warna kuning kan? Kebetulan, hari ahad diatur untuk 2 rakan yang kecewa pada trip sebelum ini lantaran trip yang langsung tak dapat turun pancing kerana cuaca yang buruk. Rostam dan Max sedia menyahut cabaran. Nasib kamu la bro sebab kena air yang cantik.




Pagi ahad, sekitar jam 7 setengah, kami terpacak di jeti dan bersedia untuk mengharungi perjalanan trip untuk hari ini. Peserta seramai 4 orang, aku, Andi Max, Rostam dan adik aku. Perjalanan kami diiringi oleh sebuah lagi bot yang dikemudikan oleh Sunal dan disertai oleh rakan sekampung, Jais. Namun kami tidak la seratus peratus bersama dalam perjalanan trip ini.


Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mencari umpan. Pukat 3 lapis diguna untuk menjerat udang hidup di muara sungai. Sekali pasang jaring, kami beroleh umpan yang mencukupi sampai kepetang.




Ini umpan yang paling berkesan untuk memujuk ikan berkualiti dalam misi kali ini, umpan udang kuning yang hidup.





Rostam yang berada di depan mendahului kami dengan mangsa ikan tabung saiz stim. Lokasi sasaran kami kali ni adalah Takat keriting. Pulau baru dan yang lain juga tersenarai dalam cadangan.


Max yang ingin merasa pecutan ikan perkasa juga tidak ketinggalan menaikkan mangsa. Seekor ikan daun baru terkapai dihujung kailnya. Beberapa kali juga terdengar kata-kata dari max, "bagi la seekor ikan yang besar, aku mau bergambar". Aku cuma tersenyum dan sesekali mengusik dia.




Di Takat keriting, aku berjaya menbuatkan pemancing geram kerana cuma aku yang banyak mendaratkan ikan tabung skala 500 gram ke 800 gram. Kalau tak silap dalam 8 ekor juga lah. Manakala pemancing lain beroleh kerapu. Cuma aku tak teringin pulak nak tangkap gambar hasil aku dalam trip ni. Sunal yang berada tidak jauh dari kami juga asyik mendaratkan ikan kerapu. Tabung yang diharap tapi kerapu yang naik. Dah la Sunal tak makan kerapu. Hehehe.




Tatkala arus surut bergerak lebih laju, keaktifan ikan semakin kurang. Kami sepakat untuk menjamah bekalan sebelum berpindah. Sedang enak menyuap nasi sejuk, joran Max dilentur hebat oleh ikan misteri. Sayangnya, Max gagal mengawal situasi. Aku cuma menasihati, andai ikan memecut, jangan ditambah drag. Biarkan ia letih. Kepantasan tangan Max memusing drag lebih ketat membuatkan tali utama 30lb putus. Maka beberapa pesanan dan teknik mudah diperturunkan pada Max agar tidak tersilap lagi dimasa akan datang.


Selesai makan, kami bergerak ke Takat Tadika. Berharap peristiwa GT menjamah umpan pada trip yang lepas berulang. Maklumlah, air dan arus sama. Surut laju. Namun hanya rostam yang diuji dan dia juga gagal mengawal pecutan pantas tersebut. Selepas menunggu beberapa lama, aku mengambil keputusan untuk mencuba nasib di muara. Takat selunsung harus disinggah kerana arus sudah pun berkurangan. Mungkin sesuai untuk labuhkan umpan. Tiba di lubuk, sudah ada dua bot nelayan yang berlabuh. Aku yakin, ikan memang ada, air memang sesuai kerana nelayan tersebut tahu waktu yang sesuai. Maka kami pun turut sama berlabuh.




Masing-masing berharap dapat merasa pecutan sang siakap termasuk aku. Andi, Jas dan Rostam adalah yang paling berharap kerana masing-masing belum ada lesen siakap di lubuk ini. Tunggu punya tunggu, tiba-tiba Max menyentap. Joran melengkung cantik. Aku cuma mampu memberi panduan melalui kata-kata. Ternyata Max sedikit gugup tapi dia dapat mengikuti arahan. Dalam hatiku berkata, kalau la Max minta ganti kan bagus. Hehehe. Akhirnya Rostam berjaya menyauk ikan idaman kebanyakan pemancing. SIAKAP PUTIH..


Saat getir bagi Max dan saat jeles bagi kami yang menyaksikan. Pertarungan berlangsung beberapa minit.




Trofi yang diidamkan oleh Max. Siakap seberat 4.33 kilogram. Lebih besar dari lesen aku tahun lepas. Satu pertarungan yang bakal menjerat Max menjadi pemancing tegar. Terdengar kata-kata darinya.


"Patukan kecil ja, lepas tu diheret macam ketam tapi bila disentap, larian bukan alang-alang"


"Memang begitu selalu mainan siakap sini" aku menjawab.


"Ini baru lah bikin ketagih" kata Max lagi. Aku cuma tersenyum. Mancing beb, memang best. Jawab hati aku.





Perjalanan pulang ke jeti. Masa tu sekitar jam 5 setengah petang. Ada juga hasil lain di Takat selunsung seperti ikan putih dan tabung tapi tidak lagi difotokan. Semua terbenam oleh kemegahan sang siakap. Bot satu lagi tu adalah Sunal dan rakannya. Juga baru pulang dari laut.









Ini lah hasil keseluruhan kami sepanjang hari, 4 pemancing berumpan udang hidup. Sayangnya aku terpaksa bergerak ke KK pada keesokan hari kerana urusan kerja. Kalau tak, teringin juga mengusik Takat selunsung secara senyap. Hehehe... Sekalung tahniah buat Max kerana beroleh trofi idaman. Bukan semua orang bernasib baik seperti dia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...