Followers

Sunday, October 28, 2012

MENGACAH PENUNGGU JETI

'Pakcik, air cantik ni kalau mancing belanak di jeti..' saran anak buah aku yang berumur 15 tahun sejurus bot ditambat sewaktu kami pulang dari trip mancing udang sehari selepas hari raya haji. Mungkin trip udang yang menghampakan membuatkan anak buah aku bersedia mendedahkan rahsia pancingan belanak yang tak pernah dia ceritakan. Aku acuh tak acuh mendengar. 'Ada belanak ka?' soal aku ragu. 'Mesti ada', jawabnya yakin. Aku mengatakan akan cuba esok kalau ada peluang. Hati masih belum meyakini.
Hendak jadi cerita, esok tengahari aku turun juga ke jeti dan aku tiba disaat anak buah aku sedang bertarung dengan seekor belanak. Gadang dan degil. Aku yang turun dengan tangan kosong bergegas naik ke rumah mendapatkan dua set pancing udang yang sesuai. Itu mangsa ketiga anak buah aku bersama rakannya. Aku memang terlewat. Tidak membuang masa, aku melabuhkan umpan.
Inilah lubuk persinggahan sang belanak.
Pedih mata melihat mereka yang lain mendaratkan ikan satu persatu. Sungguhpun bukan ikan belanak, aku tetap berharap agar beroleh lesen. Belais ka, kitang ka. Tak pun ikan sasaran. Belanak.


Sang belanak yang menjadi lesen ku yang pertama.

Akhirnya sang belanak yang menjadi idaman muncul juga bersama tenaga tentangan yang hebat. Walaupun baru bersaiz lengan tapi mampu membuat kami kelam kabut seketika. Satu pengalaman yang lama ku cari di beberapa tempat yang jauh tapi akhirnya ku miliki di jeti terdekat. Untuk pengetahuan, belanak jenis ini dikenali sebagai mendapong atau andapong di tempat kami. Jenis ni cuma digelar mendapong kalau dah besar mencecah saiz yang melebihi setengah kilo. Sewaktu bersaiz kecil, ianya dikenali dengan nama belanak. Pun begitu, ada sejenis belanak lagi yang aku kenali. Bergelar sembawi dan terkenal degil dan bijak. Jenis ni belum pernah direkodkan tertangkap dengan mata kail di jeti Kg Sg Beruang.

Sedang seronok usik mengusik dengan pemancing lain, aku terasa umpan diragut halus. Joran udang yang lembut di angkat perlahan untuk tindak balas lembut. Tali terue tegang dan joran melentur maksimum. Aku risau ikan akan membelit tiang jeti yang menghiasai lubuk. Mujur juga sang ikan memecut terus ke tengah sungai. Kekili menjerit agak panjang. Sang ikan dilayan dengan cukup berhati-hati. Hati cukup puas tatkala mangsa berjaya disauk. Andapong berskala lebih sekilo tewas selepas satu pertarungan yang cukup mengujakan.


Mungkin tidak seperti stamina ikan susu tapi pecutannya memang mengasyikkan.


Riuh juga suasana seketika. Anak buah aku cakap ini yang terbesar pernah didaratkan dijeti ini.


Gambar kenangan. Hehehehe..

Hasil dua jam tercongok di jeti. Mereka yang lain enggan difotokan. Banyak juga kitang dan belais tapi milik orang..


Satu rekod peribadi yang tercatat dan mungkin sukar untuk ku miliki lagi.

Menurut pemerhatian, ikan belanak tertarik dengan kemeriahan sang kitang dan belais yang berpesta di tiang jeti kerana anak buah aku menggantung seutas tali tangsi yang diikatkan sepotong isi ikan. Sistem rasuah ini ternyata berkesan menggoda belanak untuk mendekati. Set pancing udang bertali 10lb kebawah, berhias seketul batu ladung kecil dan mata kail udang saiz no 3 dicangkukkan isi udang yang dikupas cukup untuk mengheret sang belanak yang pemalu. Tentu cara ini amat berbeza dengan cara yang selalu dipraktikkan di tempat lain.
Apa pun ini satu pengalaman berguna. Satu perkara baru bagi aku. Mengail belanak berumpan udang. Aku masih berharap dapat merasainya dimasa akan datang..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...